Ahad, 23 Januari 2022 | 7:13pm

The Global Youth Readers, platform membaca golongan muda

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, agensi perbukuan kerajaan China, China National Publications Import & Export (Group) Co Ltd, berbesar hati membuka platform membaca The Global Youth Readers kepada golongan muda di negara ini.

Platform itu bertujuan untuk berkongsi pelbagai aktiviti menarik membabitkan pembaca muda di luar negara, mempelajari dengan lebih mendalam budaya Cina serta meningkatkan pemahaman objektif dan rasional mengenai negara itu.

Ia adalah acara pertama diadakan menerusi kelab itu pada tahun ini sebelum membuka platform sama di United Kingdom dan Poland.

Presiden China National Publications Import & Export (Group) Co Ltd, Lin Liying, berkata buku adalah cetusan tamadun selain juga berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan dua negara.

Justeru, menerusi platform itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan di antara China dan Malaysia serta pada masa sama mempromosikan pertukaran budaya dari dua negara terbabit.

"Kami berbesar hati untuk melancarkan platform The Global Youth Readers di Malaysia bersama rakan kongsi kami.

"Walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19, ia tidak memutuskan persahabatan antara kedua-dua negara, malah komunikasi dalam pelbagai bentuk ketika ini membuatkan perhubungan antara dua negara lebih bertambah erat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran The Global Youth Readers yang diadakan serentak dengan Chinese Festivals on the Silk Road-Spring Festival Salon di Beijing, China menerusi dalam talian, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKN), Mohd Khair Ngadiron.

Liying turut berharap kelab membaca itu akan membolehkan generasi muda dari Malaysia memahami budaya China daripada pelbagai sudut yang berbeza, termasuk menerusi buku, pembacaan dan berkongsi serta bertukar idea dengan belajar di antara satu sama lain.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, MBKM sentiasa mempromosikan aktiviti membaca di Malaysia di semua peringkat dari sekolah sehingga kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan tabiat membaca dan memperkasakan industri buku Malaysia secara amnya.

"Oleh itu kami berharap kelab ini akan menjadi aktiviti tambahan baharu daripada pelbagai program yang sudah dianjurkan sebelum ini.

"Saya yakin kelab ini akan menjadi jambatan antara kedua-dua negara untuk mempelajari perspektif berbeza dalam mengenali budaya Cina sekali gus meningkatkan pemahaman kita," katanya.

Katanya, ahli kelab juga akan dapat mengetahui dan mempelajari banyak kesusasteraan yang indah dari China dan mempromosikan pemahaman budaya antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting, berkata membuka buku untuk membaca akan memperoleh lebih banyak faedah dan ilmu.

"Namun, ketika ini ramai yang berasakan membaca buku itu membosankan dan tidak menarik seperti menonton televisyen atau melayari internet.

"Namun, pada pendapat saya jika setiap hari membaca buku yang menarik dan bagus, kita akan meneruskan pembacaan dengan hati yang terbuka.

"Oleh itu saya amat berharap kelab ini akan berjalan lancar dan berusaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertainya," katanya.

Terdahulu pada majlis sama, KB Asia Sdn Bhd selaku hos bersama, turut menyerahkan sumbangan 500 naskhah buku kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Mohamad untuk aktiviti kelab berkenaan.

Turut diadakan sesi perkongsian pembacaan ahli kelab The Global Youth Readers dari Malaysia bagi beberapa buku termasuk The 224 Solar Terms in Poems dan Hi I'm China.

Selain itu, terdapat juga persembahan 24 Festive Drums, sesi menulis kaligrafi dan festival makanan.

Mohd Khair (empat dari kanan) dan Wong (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Kelab Pembaca Global Youth Reader di Hotel One New World. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Mohd Khair (empat dari kanan) dan Wong (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Kelab Pembaca Global Youth Reader di Hotel One New World. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X