Jumaat, 21 Januari 2022 | 4:10pm

'Bina untuk orang tempatan tapi sewa kepada warga asing'

BUTTERWORTH: Sebuah perumahan pangsapuri kos rendah di sini, yang sepatutnya hanya untuk didiami keluarga rakyat tempatan berpendapatan rendah, kini sewenang-wenangnya disewakan kepada warga asing, hingga ada yang dijadikan sebagai asrama pekerja.

Malah unit kediaman tingkat bawah Blok A Taman Nagasari dekat Prai itu, turut disewakan kepada warga asing untuk dijadikan kedai runcit hingga mencetuskan kerisauan penduduk tempatan yang mendiami perumahan terbabit yang baru sebulan memasuki kediaman masing-masing di situ.

Wakil penduduk, Amirul Adli Ahmad, 28, berkata beliau yang menunggu hampir lima tahun untuk membeli perumahan yang disediakan Kerajaan Pulau Pinang itu, bersyukur akhirnya mendapat kunci pada pertengahan tahun lalu bagi mendiami kediaman pertamanya yang dibeli pada harga RM42,000 seunit.

"Berapa tahun lalu, saya mohon dan menunggu akhirnya dapat juga rumah sendiri yang harga sesuai dengan saya yang berpendapatan rendah.

"Namun, selepas bersusah payah untuk memiliki kediaman ini dan dikenakan syarat tidak boleh menyewakan kepada sesiapa walaupun warga tempatan, tetapi warga asing pula begitu mudah dapat menghuni di sini, bahkan ada kediaman disalah guna apabila dijadikan asrama pekerja seperti tiada apa-apa kesalahan.

"Kami selaku penghuni dan penduduk tempatan amat membantah perbuatan itu, tambahan pula rumah ini terlalu elok kerana baru sebulan saja kami duduki, namun sudah dimasuki warga asing yang kami bimbang mencetuskan gangguan kepada keselamatan penduduk di sini jika tidak dikawal dari awal," katanya ketika ditemui menyertai bantahan penduduk tempatan di perumahan itu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, turut hadir ke bantahan itu selepas menerima aduan daripada penduduk berkenaan.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 unit pangsapuri kos rendah di blok terbabit sudah dihuni keluarga penduduk tempatan, manakala sebahagian besar pemilik kediaman di situ belum berbuat demikian.

Penduduk tempatan mendakwa, sekurang-kurangnya 20 unit kediaman di situ sudah didiami oleh warga asing sama ada secara menyewanya atau dijadikan sebagai asrama pekerja.

Amirul Adli berkata, pihaknya dimaklumkan ada warga asing sudah menyewa unit kediaman di bawah bawah pangsapuri itu untuk dijadikan premis perniagaan runcit.

"Selama ini, kami dimaklumkan kegiatan komersial sama sekali tidak dibenarkan di blok perumahan ini tetapi kami hairan bagaimana terlalu mudah sekali mereka (warga asing) boleh dibenarkan berbuat demikian," katanya.

Amirul Adli berkata, penduduk tempatan yang mendiami sendiri perumahan di situ, mahu isu terbabit diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak lebih ramai warga asing tinggal hingga menjadi tidak terkawal seperti beberapa kawasan pangsapuri lain di negeri ini.

"Selepas dikawal dan tiada warga asing, kami penduduk di sini mahu membuat kad akses bagi mengawal mereka yang keluar masuk ke blok ini," katanya.

Sementara itu, Hsiao Leung berkata, isu salah guna unit kediaman di situ termasuk disewakan kepada warga asing tidak seharusnya berlaku kerana pangsapuri terbabit menetapkan syarat bahawa ia hanya dikhususkan kepada penduduk tempatan yang berpendapatan rendah serta belum memiliki rumah sendiri.

"Untuk aduan ini, saya sudah menulis surat kepada Exco Perumahan (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo) selepas menerima aduan penduduk dan meminta kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Penduduk Pangsapuri Blok A, Taman Nagasari, Prai membuat bantahan berhubung unit kediaman disewa kepada warga asing.
Penduduk Pangsapuri Blok A, Taman Nagasari, Prai membuat bantahan berhubung unit kediaman disewa kepada warga asing.
Berita Harian X