Jumaat, 21 Januari 2022 | 2:56pm
Ka Siong pada sidang media selepas melancarkan Kutipan Dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan Heritage Kampus UTAR, di Ipoh. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Ka Siong pada sidang media selepas melancarkan Kutipan Dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan Heritage Kampus UTAR, di Ipoh. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

MCA siap siaga hadapi PRN Johor, PRU-15 - Ka Siong

KAMPAR: "Bila-bila saja wisel ditiupkan kita akan bersiap siaga dan pastikan orang-orang kita sudah turun di bawah dan mereka faham peranan mereka," kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan itu diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka bakal diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, beliau setakat ini belum mendapat apa-apa maklumat ataupun mesyuarat berkaitan PRN Johor.

"Tatacara MCA sentiasa bersiap sedia berdepan sama ada PRU15 atau PRN di mana-mana kerana sudah masuk tahun keempat... dan kita tetap mengikut SOP yang sama.

"Apabila sudah masuk tahun keempat bila-bila masa akan berlakunya PRU dan ataupun PRN," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kutipan Dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan Heritage Kampus UTAR, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Justeru, beliau berkata, jentera MCA akan sentiasa bersiap siaga berhadapan pilihan raya berkenaan.

"Jadi tiada bezanya bulan depan atau tahun hadapan, kita tahu ia tidak akan menjangkau daripada pertengahan 2023.

"Kita tahu dan dapat agak untuk tempoh 18 bulan akan datang kita akan berdepan PRN atau PRU," katanya.

Ka Siong juga berkata, faktor yang penting adalah sentiasa berdamping dengan rakyat setiap masa.

"Mendampingi rakyat setiap masa lebih penting bukan tunggu masa pilihan raya baru kita turun padang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor dilaporkan berkata memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.

Berita Harian X