Jumaat, 21 Januari 2022 | 10:54am
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Sidang media MB Johor esok, cetus khabar angin pembubaran DUN

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad, akan mengadakan sidang media khas esok, dengan khabar angin mengaitkan ia akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sumber UMNO Johor mengesahkan perancangan sidang media itu selepas Badan Perhubungan UMNO Johor mengadakan mesyuarat khas esok.

"Esok, UMNO Johor dijadualkan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan secara lanjut mengenai PRN negeri, terutama pembentangan nama-nama calon.

"Kesemua 26 ketua bahagian UMNO Johor akan hadir mesyuarat esok dan selepas itu satu sidang media khas dijangka diadakan.

"Setakat ini masih tiada tarikh sebenar pembubaran DUN Johor seperti yang didakwa sebuah portal semalam, namun ia memang ke arah itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

"Hanya Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor boleh menjawab berkenaan tarikh pembubaran DUN dan mungkin ia akan terjawab esok," katanya ketika dihubungi.

Sebuah portal semalam mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.

Laporan itu yang memetik sumber UMNO turut mendakwa, DUN Johor akan dibubar pada Ahad ini, selepas permohonan untuk pembubaran DUN telah mendapat perkenan Istana Johor.

Bagaimanapun, Suhaizan Kaiat menafikan sudah menerima surat makluman daripada dariapada Menteri Besar berhubung pembubaran itu.

Semalam, Hasni ketika berucap pada sebuah majlis di Iskandar Puteri dilaporkan  memberi isyarat PRN Johor, mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, turut memberi jaminan, jika DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN dalam waktu terdekat itu, ia tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Isyarat DUN Johor akan dibubarkan mula hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu, apabila beberapa siri mesyuarat berlangsung membabitkan Badan Perhubungan UMNO negeri bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan Pusat terutama selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember lalu

Ia disusuli dengan pertemuan antara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar awal bulan ini, yang antara lain dipercayai menyembah maklum hasrat kerajaan negeri untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN dilaksanakan selepas kerajaan negeri memiliki satu majoriti di dalam DUN.

Dalam pada itu, sumber UMNO turut memaklumkan Presiden UMNO dijangka akan berada di Johor Bahru, Selasa ini.

"Presiden UMNO dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan UMNO Johor berhubung PRN Johor dengan lebih lanjut," katanya.

Berita Harian X