Khamis, 20 Januari 2022 | 7:41pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

'Saya doktor, tidak tinggal pesakit dalam pembedah'

KUALA LUMPUR: "Saya dilatih jadi doktor, tak akan tinggalkan pesakit saya yang dalam pembedahan".

Demikian reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, ketika dihujani desakan bertali arus daripada blok pembangkang untuk meletakkan jawatan kerana didakwa gagal mengendalikan Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan banjir luar biasa yang melanda negara, tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan terhadap pengurusan NADMA, termasuk meneliti segenap cadangan diutarakan Ahli Parlimen, menerusi penubuhan satu jawatankuasa dianggotai pemimpin secara bipartisan.

"Paling penting, kita perlu ambil semua pandangan, seperti dijanjikan Perdana Menteri dengan memanggil satu jawatankuasa bagi menilai semua cadangan pengurusan bencana, sekarang dan pada masa akan datang.

"Kita akan melihat secara mendalam dan lebih tuntas, perlu ada satu punca kuasa," katanya pada sesi penggulungan sidang khas Parlimen, di sini, hari ini.

Selepas menyelami cadangan, kritikan, keluhan dan rungutan 44 pembahas daripada kedua-dua pihak, Dr Abdul Latiff berkata, NADMA akan terus diperkasakan seiring perkembangan teknologi semasa, dengan memastikan penggunaan data bencana daripada pelbagai agensi diseragamkan.

Selain itu, katanya, data berhubung bencana akan diterapkan dengan ciri-ciri yang mempunyai impak ramalan supaya memberi ruang kepada agensi berkaitan untuk melakukan persediaan secara lebih awal.

"Justeru, kita perlukan maklumat yang dinamik, tepat untuk memastikan segenap usaha dapat dilakukan dengan lebih cepat, terancang dan bersepadu," katanya.

Berita Harian X