Khamis, 20 Januari 2022 | 12:00pm

NADMA 2.0 mungkin ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) 2.0 berkemungkinan perlu ditubuhkan bagi menjamin aspek kecekapan pengurusan yang diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata gesaan berhubung perkara itu turut diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember, tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, struktur sedia ada NADMA akan diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara dan ia sedang dalam tindakan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Antara perkara yang diteliti adalah penubuhan NADMA di peringkat negeri dan daerah, justeru diharapkan menjelang akhir sidang khas ini, kita dapat beri satu penyelesaian, mungkin menubuhkan NADMA 2.0.

"Ini bagi memastikan kita betul-betul dapat menggarap kepentingan bahawa pengurusan bencana bukan saja di peringkat pusat, tetapi meliputi peringkat negeri dan daerah," katanya pada sidang khas Parlimen, hari ini.

Mengemukakan hala tuju pengurusan bencana, Dr Abdul Latiff berkata kesedaran awam terhadap kepentingan dan tanggungjawab perkara itu, bermula daripada peringkat masyarakat perlu diterap serta dipupuk.

Susulan itu, katanya, pemantapan kerjasama agensi kerajaan, golongan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dirintis dalam melaksanakan aktiviti pendidikan serta kesedaran bencana kepada masyarakat awam.

"Terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah supaya pendidikan serta kesedaran terhadap bencana berupaya diterapkan dari peringkat awal.

"Bagi memastikan kesiapsiagaan tindak balas terhadap bencana, latih amal dan simulasi hendaklah diadakan dari semasa ke semasa oleh setiap peringkat jawatankuasa pengurusan bencana membabitkan agensi-agensi tindak balas bencana.

"Peranan pihak swasta dalam membina daya tahan negara, kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah amat penting serta perkara ini dinyatakan dalam Deklarasi Kuala Lumpur semasa Persidangan Menteri-Menteri Asia Mengenai Pengurusan Risiko Bencana (DRR) Ketiga yang dianjurkan Malaysia pada 2008.

"NADMA juga sedang dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula," katanya.

NADMA 2.0 mungkin perlu ditubuhkan bagi menjamin aspek kecekapan pengurusan yang diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah. - Foto fail
NADMA 2.0 mungkin perlu ditubuhkan bagi menjamin aspek kecekapan pengurusan yang diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah. - Foto fail
Berita Harian X