Khamis, 20 Januari 2022 | 11:38am
Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman (kanan) beramah mesra bersama sebahagian graduan pada sidang media Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-44 yang akan berlangsung pada 8 - 13 Januari 2022 di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman (kanan) beramah mesra bersama sebahagian graduan pada sidang media Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-44 yang akan berlangsung pada 8 - 13 Januari 2022 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

MQA tiada masalah dengan bilangan graduan PhD dikeluarkan UPM

CYBERJAYA: Bilangan graduan ijazah kedoktoran (PhD) dihasilkan Universiti Putra Malaysia (UPM) bukanlah indikator yang wajar dipertikaikan kerana kualiti programnya dipantau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata program akademik di UPM menepati Standard: Ijazah Sarjana dan Kedoktoran MQA serta dinilai secara berkala biarpun mempunyai status swaakreditasi daripada pihaknya.

Beliau berkata, program ditawarkan UPM diperakui kualitinya yang mana terbukti mampu meletakkan universiti penyelidikan berteraskan pertanian itu dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Ranking 2022.

Katanya, apabila penilaian dibuat badan penarafan universiti antarabangsa, mereka akan melihat segenap aspek termasuk pelajar PhD yang dihasilkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

"Jadi, sekiranya bilangan graduan PhD menjadi tanya tanya, UPM tidak akan berada pada kedudukan yang baik dalam penarafan universiti dunia.

"Selain itu, mereka yang pernah melalui proses pengajian di peringkat PhD pastinya tahu untuk memiliki ijazah kedoktoran bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi dikeluarkan oleh antara universiti terbaik negara yang amat menitikberatkan hal kualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ada pihak mempertikaikan bilangan graduan PhD dikeluarkan UPM yang dikatakan 'terlalu luar biasa' pada Majlis Konvokesyen ke-44 universiti itu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, jumlah graduan bukanlah satu ukuran yang mencerminkan kualiti kerana bilangan pelajar yang mengikuti program pengajian PhD di sesebuah universiti juga perlu dilihat.

Di MQA, katanya, pihaknya mempunyai keyakinan yang tinggi dengan kualiti graduan dikeluarkan oleh UPM bukan sahaja untuk PhD, malah di semua peringkat pengajian.

"Sebagai agensi yang memantau jaminan kualiti pengajian tinggi di negara ini, MQA akan terus memastikan program ditawarkan IPT tempatan mencapai piawaian ditetapkan.

"Penerimaan jaminan kualiti itu bukan hanya untuk di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa kerana MQA ialah agensi jaminan kualiti yang dihormati oleh badan akreditasi global," katanya.

Berita Harian X