Rabu, 19 Januari 2022 | 10:01pm
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

PM, menteri beri penerangan berkaitan banjir di Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi penerangan mengenai situasi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, esok.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan dalam laman web Parlimen, hari ini, selain Perdana Menteri, beberapa menteri juga dijadual menyampaikan penerangan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, yang mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), akan memberikan penerangan mengenai pengurusan bencana banjir.

Sesi kemudian akan diteruskan dengan penerangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung bantuan banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula akan memberi penerangan berkenaan perancangan jangka panjang dalam mendepani bencana banjir.

'Ia (kemudian) diikuti dengan Ahli-ahli Parlimen meminta penjelasan serta memberikan pandangan, dan diakhiri dengan menteri menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat," menurut aturan mesyuarat berkenaan.

Beberapa isu dijangka menarik tumpuan dalam perbahasan Ahli Parlimen, termasuk perancangan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi banjir, khususnya berkaitan penambahbaikan sistem saliran dan perparitan serta projek tebatan banjir.

Isu yang turut dijangka 'panas' sudah pasti berkait hal bantuan disalurkan kerajaan kepada mangsa banjir termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), operasi bantuan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerja pembersihan di kawasan terjejas, yang sebelum ini mengundang pelbagai perdebatan umum.

Usaha kerajaan dalam mendepani pascabanjir juga dijangka disentuh pada mesyuarat, esok, terutama berkait penyaluran dana bagi kerja baik pulih dan pembinaan semula kediaman yang musnah, susulan pelbagai rungutan dibangkitkan mangsa banjir terutama dakwaan berkaitan kerenah birokrasi yang merumitkan.

Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata, Dewan Rakyat akan mengadakan Mesyuarat Khas, esok, bagi mendalami kesusahan rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.

Perdana Menteri dipetik berkata, Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 itu diadakan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara, iaitu banjir dan pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia serta perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

Berita Harian X