Rabu, 19 Januari 2022 | 6:25pm
Seramai 118,825 anggota dan pegawai polis di seluruh negara melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sehingga Jumaat lalu. - Foto NSTP
Seramai 118,825 anggota dan pegawai polis di seluruh negara melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sehingga Jumaat lalu. - Foto NSTP

118,825 anggota, pegawai PDRM lengkap vaksinasi

KUALA LUMPUR: Seramai 118,825 anggota dan pegawai polis di seluruh negara melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sehingga Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, berkata jumlah itu membabitkan 12,358 pegawai kanan, 96,868 pegawai rendah dan 9,599 pegawai awam.

"Jumlah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima suntikan dos ketiga atau penggalak pula adalah seramai 28,028 orang.

"Ia membabitkan 3,542 pegawai kanan, 22,249 pegawai rendah dan 2,237 pegawai awam," katanya kepada BH hari ini.

Ditanya mengenai situasi penularan COVID-19 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Zaini berkata, seramai 286 atau 5.2 peratus daripada 5,480 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) dijangkiti wabak itu mengikut rekod setakat Jumaat lalu.

Katanya, pada masa kini keadaan masih terkawal dan majoriti pelatih dijangkiti wabak itu berada di kategori satu dan dua.

"Jumlah mereka yang dijangkiti menunjukkan penurunan pada tahun ini, berbanding tahun lalu dan 2020.

"Cabaran utama dihadapi di institusi latihan adalah kemudahan penginapan pelatih berkonsepkan dormitori dan perkongsian peralatan latihan.

"Tindakan pencegahan diambil oleh semua PULAPOL berkaitan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan kita bekerjasama dengan pejabat kesihatan di daerah masing-masing untuk membendung penularan COVID-19.

"Semua pelatih juga sudah divaksin dua kali dan tindakan sedang diambil untuk memberi suntikan penggalak apabila mencukupi tempoh selepas suntikan dos kedua," katanya.

Berita Harian X