Selasa, 18 Januari 2022 | 7:51pm
Kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban golongan terjejas termasuk inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia - Foto fail NSTP
Kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban golongan terjejas termasuk inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia - Foto fail NSTP

'Boleh tuntut baiki kereta di bengkel tak berdaftar'

KUALA LUMPUR: Kerajaan menambah baik pelaksanaan inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia dengan mewujudkan kaedah alternatif untuk mangsa banjir membuat tuntutan tunai dalam keadaan kenderaan dibaiki di bengkel tidak berdaftar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk Bengkel Tidak Berdaftar boleh dibuat secara dalam talian mulai esok di portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my.

"Permohonan secara manual fizikal juga boleh dibuat di mana-mana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia http://bantuanbanjir.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin," kata Tengku Zafrul.

Berikutan bencana banjir yang melanda negara, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban golongan terjejas termasuk inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara mangsa banjir untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Sehingga kini, hampir 20 syarikat automotif, dengan rangkaian lebih daripada 1,800 pusat servis berdaftar di seluruh negara, bersetuju untuk menyertai inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia.

Senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutama untuk motosikal akan dikemas kini sepanjang tempoh pelaksanaan.

-BERNAMA

Berita Harian X