Selasa, 18 Januari 2022 | 3:13pm
Pengguna jalan raya di Lebuh raya Plus mula menggunakan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bermula Sabtu lalu. - Foto fail BERNAMA
Pengguna jalan raya di Lebuh raya Plus mula menggunakan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bermula Sabtu lalu. - Foto fail BERNAMA

PLUS perlu segera selesai isu RFID - FOMCA

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu bertanggungjawab menyelesaikan segera pelbagai isu berkaitan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya bagi mengelakkan pengguna hilang keyakinan terhadap teknologi itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata isu utama iaitu masalah pengesanan pelekat RFID di lorong disediakan hingga menyebabkan kesesakan, menunjukkan PLUS belum betul-betul bersedia melaksanakan penggunaannya.

Beliau berkata, PLUS sepatutnya menyediakan lorong percubaan RFID dengan jumlah petugas mencukupi terlebih dahulu supaya sebarang isu pengguna dapat diatasi tanpa menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku kini.

"PLUS sepatutnya sudah bersiap-sedia dan buat jangkaa\an isu sebegini akan timbul. Ada pelekat RFID pengguna yang tidak dapat dikesan di tiga plaza tol hingga mereka terpaksa mengundurkan kenderaan dan akhirnya menyebabkan kesesakan.

"PLUS beri jaminan penggunaan RFID akan percepatkan proses pembayaran di plaza tol tetapi apabila sebaliknya berlaku, mereka nampaknya gagal mencapai matlamat dikehendaki.

"Masyarakat menyokong usaha kerajaan memperkenalkan penggunaan RFID tetapi dengan masalah yang timbul dibimbangi akhirnya pengguna hilang keyakinan dengan penggunaannya," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu rungutan pengguna terhadap penggunaan RFID yang dipasang di Lebuhraya Utara Selatan membabitkan laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor yang beroperasi sepenuhnya mulai jam 10 malam, 15 Januari lalu.

Antara isu paling banyak dikongsi pengguna melalui media sosial termasuk pelekat RFID yang ditampal di kenderaan tidak dapat dikesan sistem RFID meskipun pemasangannya dibuat seperti ditetapkan pihak PLUS.

Ada pengguna berkongsi yang mereka terpaksa membeli pelekat RFID berharga RM35 beberapa kali disebabkan kegagalan sistem mengesannya.

Selain itu, pengguna turut mempersoalkan mengenai penggunaan pelekat RFID yang disifatkan tidak ekonomi kerana hanya boleh digunakan bagi satu kenderaan berdaftar berbanding Touch 'n Go (TNG) dan unit pembaca tol SmartTAG yang boleh digunakan bagi beberapa kenderaan.

Mohd Yusof menjangkakan lebih banyak isu pelekat RFID tidak boleh dikesan di lorong disediakan terutamanya selepas pengguna kini boleh memasang sendiri pelekat berkenaan yang dibeli secara dalam talian.

Katanya, beliau yang mendapatkan pelekat RFID dan melakukan pemasangan melalui pihak berautoriti pada 2018 turut berdepan pengalaman terpaksa mengundurkan kenderaan selepas ia tidak dapat dikesan sistem ketika digunakan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

"Apatah lagi pengguna yang memasang pelekat itu sendiri

"Sepatutnya kalau ikutkan hak pengguna, sebaik mereka membeli pelekat itu, PLUS perlu memastikan ia berfungsi tetapi apabila perlu beli beberapa kali (disebabkan tidak dapat dikesan sistem RFID), memang menyusahkan.

"Masalah yang berlaku kini perlu segera diselesaikan PLUS dan dijadikan iktibar," katanya.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, sebelum ini berkata pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat itu dapat menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

PLUS dalam kenyataan media hari ini berkata, ia akan mengambil tindakan penambahbaikan berhubung maklum balas ramai mengenai kesesakan yang timbul di plaza tolnya berikutan penggunaan RFID.

Ini termasuk menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Menurut PLUS, pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

Berita Harian X