Selasa, 18 Januari 2022 | 1:32pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Isu RFID: PLUS tutup ruangan komen Facebook

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup semula ruangan komen di laman Facebook (FB) rasminya selepas ramai pengguna lebuh raya meluahkan tidak puas hati dengan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Difahamkan, ruangan komen itu sebelum ini dibuka namun kini ia ditutup kecuali pelayar media sosial boleh memberikan maklum balas 'like' dan 'kongsi'.

Kebanyakan komen yang ditinggalkan di laman media sosial itu sekitar lima jam yang lalu dan tiada komen baharu setakat pagi ini.

PLUS mengumumkan peralihan kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula Sabtu lalu.

Namun sepanjang tiga hari ini, masih ada pengguna yang menggunakan pelekat RFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.

Semalam, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, mengarahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) supaya memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan RFID.

Katanya, pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat berkenaan menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Malaysia Berhad, Syed Mohammed Idid berkata, pengguna yang menghadapi masalah boleh mendapatkan bantuan melalui Direct Message (DM), emel, twitter dengan menyertakan maklumat spesifik.

"PLUS sentiasa terbuka dan sedia membantu pelanggan yang menghadapi masalah namun mereka perlu memberikan butiran lanjut kerana ia lebih memudahkan untuk kami bantu," katanya kepada BH.

Dalam pada itu, seorang pengguna dengan nama Mohd Khairuddin Ab Samad, berharap PLUS tidak menutup lorong SmartTag, berikutan ia sangat menyukarkan pengguna sedia ada.

Beliau mencadangkan lorong Touch N Go dan SmartTag dibuat di lorong yang sama.

Seorang lagi pengguna dengan nama Abu Fawwaz Nur Farhah, mempersoalkan kajian yang dilakukan PLUS itu meliputi semua aspek atau sebaliknya.

"Tidak pasti kajian ini meliputi semua aspek atau tidak? Rata-rata kereta baharu sudah ada sistem SmartTAG yang efektif.. Ia menyusahkan dan suatu pelaksanaan yang tidak efektif," katanya.

Berita Harian X