Isnin, 17 Januari 2022 | 8:17pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

PLUS, TNG diarah selesaikan isu RFID

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) diarah memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat berkenaan menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

"Ini ialah projek rintis, sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah dilaksanakan dan sekarang PLUS pula melaksanakan di peringkat Lebuhraya Utara Selatan.

"Memandangkan ia projek rintis, maka ada beberapa perkara yang mereka terpaksa lalui dan akan diselesaikan, malah hanya satu daripada lorong tol dipasang RFID.

"Yang lain masih ada Smart Tag dan TNG. Walaupun transaksi tol RFID beroperasi, pengguna masih mempunyai pilihan untuk menggunakan lorong transaksi melalui kad TNG dan Smart Tag.

"Pihak terbabit perlu segera menyelesaikan semua permasalahan supaya tidak menyusahkan, malah memberi kemudahan dan kesenangan kepada pengguna jalan raya terutama untuk mengelak berlaku kesesakan lalu lintas atau di pondok tol di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pengguna jalan raya mengutarakan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di lorong tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa mengambil keputusan beralih ke lorong TNG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi.

Hal itu kerana pertukaran penggunaan sistem bayaran daripada RFID kepada kad TNG menyebabkan pengguna lebuh raya akan dikenakan caj maksimum.

Berita Harian X