Isnin, 17 Januari 2022 | 7:11pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Waris perlu sokongan, elak ibu bapa dihantar ke pusat jagaan

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga yang menjalankan tanggungjawab menjaga warga emas memerlukan perkhidmatan sokongan susulan faktor perubahan demografi, kesihatan dan sosioekonomi.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim, berkata perubahan persekitaran keluarga dan masyarakat memerlukan kepada perkhidmatan sokongan yang berkualiti dan mampu dibiayai penjaga warga emas terutama anak-anak.

Katanya, penjagaan jangka panjang warga emas sebahagian besarnya dijalankan ahli keluarga secara tidak formal.

"Penjaga warga emas lazimnya membabitkan pasangan anak dewasa dan menantu, selain ahli keluarga lain seperti cucu dan adik-beradik.

"Bagaimanapun, faktor demografi, kesihatan dan sosioekonomi boleh menyebabkan tiada ahli keluarga yang tinggal berdekatan dapat memberikan penjagaan kepada golongan itu.

"Antara faktor kekangan ahli keluarga menjaga orang tua dalam sesebuah keluarga adalah berpindah atau berhijrah ke tempat lain, kesibukan bekerja dan bebanan penjagaan tinggi oleh penjaga yang turut mempunyai tanggungjawab lain seperti menjaga anak kecil atau masih bersekolah serta memiliki anak kurang upaya (OKU)," katanya kepada BH, hari ini.

BH melaporkan kerajaan membelanjakan hampir RM900 juta setiap tahun bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan warga tua di seluruh negara, termasuk mereka yang ditempatkan di 15 institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Daripada jumlah itu, hampir RM40 juta disalur setiap tahun bagi membiayai kos penjagaan golongan berkenaan di rumah kebajikan JKM, manakala kira-kira RM70 juta setiap bulan atau RM840 juta setahun diperuntukkan untuk pelbagai bantuan kepada 138,000 warga emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata bagi setiap warga emas di pusat jagaan JKM, kerajaan membelanjakan RM1,400 sebulan

antaranya bagi penyediaan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan keperluan lain.

Pada masa sama, Siti Zailah berkata, wang yang digunakan kerajaan untuk penjagaan warga emas boleh dikurangkan sekiranya wujud kesedaran tinggi dalam kalangan anak-anak terhadap kepentingan menjaga ibu bapa yang menjadi tanggungjawab mereka.

Mengulas lanjut, Rahimah berkata, cadangan mengurangkan peruntukkan penjagaan warga emas

bagaimanapun perlu dilihat semula daripada aspek perkhidmatan dan penjimatan.

"Nilai bantuan semakin naik, tetapi warga emas yang akan dapat manfaat semakin berkurang.

"Jadi, kita perlu juga lihat kerjasama daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengurangkan bebanan ahli keluarga menggunakan perkhidmatan mereka, selain

waris mampu atau tidak," katanya.

Beliau berkata, jumlah peruntukan yang dibelanjakan kerajaan bukan berdasarkan nilai semata-mata, tetapi jenis perkhidmatan, skop dan mekanisme sasaran.

Berita Harian X