Isnin, 17 Januari 2022 | 12:30pm
Secara purata kerajaan membelanjakan RM1,400 sebulan untuk menyediakan pelbagai keperluan setiap warga emas di pusat jagaan JKM. - Foto hiasan
Secara purata kerajaan membelanjakan RM1,400 sebulan untuk menyediakan pelbagai keperluan setiap warga emas di pusat jagaan JKM. - Foto hiasan

Kerajaan belanja hampir RM900j setahun untuk bantu warga emas

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan hampir RM900 juta setiap tahun bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan warga tua di seluruh negara, termasuk mereka yang ditempatkan di 15 institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Daripada jumlah itu, hampir RM40 juta disalur setiap tahun bagi membiayai kos penjagaan golongan berkenaan di rumah kebajikan JKM, manakala kirakira RM70 juta setiap bulan atau RM840 juta setahun diperuntukkan untuk pelbagai bantuan kepada 138,000 warga emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata bagi setiap warga emas di pusat jagaan JKM, kerajaan membelanjakan RM1,400 sebulan antaranya bagi

penyediaan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan keperluan lain.

Katanya, selain kos operasi, peningkatan peruntukan itu disebabkan kos penjagaan dan penyediaan makanan dan keperluan harian, termasuk lampin pakai buang yang turut meningkat.

Sehubungan itu, beliau berkata, wang yang digunakan kerajaan untuk penjagaan warga emas boleh dikurangkan sekiranya wujud kesedaran yang tinggi dalam kalangan anakanak terhadap kepentingan menjaga ibu bapa yang menjadi tanggungjawab mereka.

"Oleh itu, tindakan menghantar ibu bapa ke institusi penjagaan warga emas sepatutnya langkah terakhir dan bukannya tindakan permulaan dalam menyelesaikan masalah penjagaan golongan itu dalam keluarga.

"Atas dasar itu, kita laksana langkah intervensi, iaitu mereka yang ingin hantar ibu bapa ke pusat jagaan akan melalui proses rujukan dengan pegawai kes dan kaunselor

"JKM ambil langkah intervensi yang sesuai dari sudut pemberian bantuan atau keperluan khusus jika perlu. Perbelanjaan yang diperuntukkan bagi penjagaan warga emas di pusat jagaan JKM boleh dimanfaatkan untuk program lain membabitkan warga emas jika jumlah golongan yang dimasukkan ke institusi terbabit boleh dikurangkan," katanya kepada BH.

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sepanjang tahun lalu, jumlah warga emas yang mendapat perlindungan, penjagaan dan pemulihan di institusi warga emas kendalian JKM, iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK), Rumah Ehsan (RE) dan Desa Bina Diri (DBD) di seluruh negara ialah 1,940 orang.

Berdasarkan data JKM, perbelanjaan di institusi warga emas pada 2016 adalah RM51 juta, diikuti RM60,702,317 (2017), RM60,428,728 (2018), RM60,908,065 (2019), RM61,988,633 (2020) dan RM62,529,200 pada 2021.

Mengenai jumlah kemasukan warga emas ke pusat kebajikan JKM, Siti Zailah berkata, terdapat penurunan dalam tempoh enam tahun lalu iaitu 2,878 pada 2016, 2,712 pada 2017, 2,512 (2018), 2,421(2019), 2,151(2020) dan 1,940 pada tahun lalu.

"Sejak 2016 kerajaan sudah membelanjakan RM245 juta untuk menampung keseluruhan 14,614 warga emas di institusi pusat jagaan," katanya menjelaskan, pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan menjadi antara penyumbang kepada penurunan terbabit.

Melalui JKM, beliau berkata, bantuan kewangan sebanyak RM500 diberikan kepada warga emas yang memerlukan, di samping bantuan kepada golongan itu yang mempunyai penyakit kronik, selain orang kurang upaya (OKU).

"JKM juga mewujudkan pusat aktiviti warga emas atau PAWE, khidmat bantu di rumah, unit penyayang warga emas, perkhidmatan respite care dan bantuan terhadap pertubuhan sukarela kebajikan (PSK)," katanya.

Beliau berkata, dengan semangat Keluarga Malaysia, kementerian menyasarkan jumlah penghuni rumah kebajikan JKM juga akan jauh berkurangan lagi.

"Setiap anak perlu sedar bahawa kebajikan ibu bapa perlu dipenuhi mereka, bukan meletakkan kebergantungan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah terbabit kerana kerajaan tidak mempunyai dana dan warga kerja mencukupi dalam aspek ini.

"Apatah lagi ketika Malaysia menuju negara tua pada 2030 di mana 15 peratus rakyat mencapai usia 60 tahun ke atas, anak perlu lebih bersedia selain usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Dalam hal ini, adik beradik boleh berpakat untuk membantu menjaga dan menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka. Kalau ada lapan adik beradik, seorang bagi hanya RM100 sebulan, boleh dapat RM800," katanya.

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah berkata, Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional (e-WEN) yang mengumpul data bersepadu warga emas di negara ini, dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Sistem ini berupaya mendaftarkan warga emas secara dalam talian yang lebih cekap serta memudahkan carian warga emas mengikut lokaliti daerah dan bandar.

"Ia juga membolehkan perkongsian data berkaitan warga emas antara agensi kerajaan dan meningkatkan proses padanan kerja, kemahiran serta kesihatan dalam golongan itu," katanya.

Berita Harian X