Ahad, 16 Januari 2022 | 8:12pm
Gambar fail menunjukkan longgokan sisa kayu yang dihanyutkan banjir di Telemong. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Gambar fail menunjukkan longgokan sisa kayu yang dihanyutkan banjir di Telemong. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Longgokan sisa kayu di Telemong akan dibersihkan segera

JERANTUT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menyelesaikan segera masalah longgokan sisa kayu akibat banjir kepala air baru-baru ini di kawasan Telemong yang menimbulkan kerisauan kepada penduduk tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya akan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan kawasan terbabit.

"Kita akui banjir baru-baru ini telah meninggalkan sampah sarap yang mengakibatkan saluran air sungai dan kawasan sekitar kampung dipenuhi dengan sisa sisa kayu.

"Namun begitu kita akan memberi keutamaan kepada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir dahulu seperti pembersihan rumah mangsa dan sebagainya," katanya selepas membuat lawatan kerja dan merasmikan Projek Wakaf Air di daerah Jerantut, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan penduduk mengenai sisa kayu masih belum dibersihkan selepas lebih tiga minggu kejadian banjir.

Tuan Ibrahim berkata, pada masa ini, selain membantu membersihkan rumah penduduk, pihaknya akan berusaha menyelesaikan dahulu masalah banjir termenung di beberapa kawasan.

"Kita akan menghantar pam-pam untuk mengalirkan keluar air tersebut terutamanya membabitkan kawasan perumahan dan ladang penduduk kerana jika air tidak dikeringkan, penduduk tidak dapat mengusahakan ladang mereka.

"Esok saya akan turun ke Maran untuk menyelesaikan isu air termenung dan pihak JPS telah menghantar pam-pam ke kawasan tersebut untuk menyelesai masalah penduduk," katanya.

Beliau berkata, selepas masalah kawasan perumahan penduduk dan ladang selesai, barulah pihaknya akan menyelesaikan isu sisa kayu dan sampah di kawasan Telemong dengan segera.

Katanya, pihak JPSM dan JPS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan Telemong dibersihkan daripada sisa-sisa kayu dan sampah sarap di sungai serta kawasan sekitar kampung.

Berita Harian X