Ahad, 16 Januari 2022 | 6:53pm
Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjangkakan jumlah permohonan baik pulih dan membina semula rumah pasca banjir dijangka meningkat selepas mendapat data dan maklumat terbaharu. - Foto fail NSTP
Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjangkakan jumlah permohonan baik pulih dan membina semula rumah pasca banjir dijangka meningkat selepas mendapat data dan maklumat terbaharu. - Foto fail NSTP

Lebih 2,000 permohonan diterima baik pulih rumah pasca banjir

KUALA NERANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di lapan negeri terjejas banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak 1,879 permohonan adalah untuk membaik pulih rumah manakala 165 untuk bina semula rumah dengan anggaran kos setakat ini berjumlah lebih RM38.52 juta.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah permohonan itu adalah setakat 9 Januari lepas dan ia dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terbabit.

"Akan ada tambahan lagi (permohonan), kita masih menunggu data dan maklumat daripada PKOB, macam di Sepang dan Hulu Langat di Selangor kita telah menerima maklumat tapi dimaklumkan oleh pegawai daerah berkenaan ada maklumat terbaharu.

"Mana maklumat yang telah diterima dan maklumat itu betul, kita jalankan (baik pulih atau pembinaan baharu rumah), ini termasuk yang serius adalah di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di sini hari ini.

Mahdzir berkata, kerajaan menetapkan jumlah maksimum RM15,000 bagi baik pulih rumah dan RM56,000 bagi bina semula rumah dan kontraktor yang dilantik perlu menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kalau yang baik pulih, kalau dah lantik kontraktor itu maknanya dalam tempoh sebulan atau sebelum sebulan kena siap, kalau boleh 20 hari. Kalau buat rumah baharu pula, empat ke enam bulan. Kita harap tempoh paling pendek dapat selesaikan," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata secara keseluruhannya KPLB menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membaik pulih rumah dan kemudahan yang terjejas banjir di kawasan luar bandar di lapan negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina semula rumah, RM50 juta untuk membaiki jalan kampung yang rosak dan RM50 juta lagi untuk membaik pulih ameniti sosial seperti masjid, surau, tanah perkuburan, longkang dan pagar.

Baru-baru ini, beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu dilanda banjir manakala Johor dan Sabah masih mengalami bencana itu. – BERNAMA

Berita Harian X