Ahad, 16 Januari 2022 | 1:41pm

Kamarul Zaman Ketua Polis Johor baharu

JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin yang memangku jawatan itu, selepas bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada 3 Januari lalu.

Majlis serah terima tugas di antara mereka berlangsung di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Kamarul Zaman dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988, sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Kedah pada Jun tahun lalu.

Sepanjang 34 tahun beliau berkhidmat dalam PDRM, pelbagai tanggungjawab telah digalasnya termasuk Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di IPK Johor.

Dalam pada itu, Razarudin pada sidang akhbarnya berkata, kepimpinan Kamarul Zaman di IPK Kedah yang cemerlang mampu diteruskan beliau di IPK Johor.

"Saya yakin Kamarul Zaman mampu meneruskan legasi kecemerlangan Ketua Polis Johor sebelum ini sekali gus mampu memberi inspirasi kepada rakyat Johor terhadap PDRM," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berikrar, akan memberikan perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kecemerlangan IPK Johor.

Beliau turut menggesa pegawai dan anggota polis di negeri ini supaya sentiasa menjaga intergriti selain ikhlas dalam menjalankan tugas.

"Saya berharap semua anggota di negeri ini tidak menjadi pembelot kepada PDRM.

"Bagi memastikan kecemerlangan dan kejayaan daripada kemimpinan terdahulu dapat diteruskan, saya memerlukan sokongan yang padu dari ketua jabatan, ketua polis daerah, pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

"Cemerlang di sini (PDRM), cemerlang di mata masyarakat," katanya.

Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Kok Chin (kiri) kepada Kamarul Zaman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Kok Chin (kiri) kepada Kamarul Zaman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X