Sabtu, 15 Januari 2022 | 7:24pm

Lapangan Terbang Pangkor sedia beroperasi semula

PANGKOR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuat persiapan bagi memastikan Lapangan Terbang Pangkor, di sini bersedia sepenuhnya menerima kehadiran pelancong yang bercuti ke pulau peranginan bebas cukai itu.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya menjalankan sedikit penambahbaikan lapangan terbang berkenaan dan ia sudah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

"Di pihak MAHB kita sudah membuat persiapan dan memastikan supaya keadaan lapangan terbang di Pangkor sentiasa berada pada tahap yang boleh digunakan pada bila-bila masa.

"Kita sudah melihat beberapa aspek untuk menambah baik sedikit dari segi mungkin ada beberapa tempat seperti pagar yang boleh diperbaiki. Ia adalah perkara kecil dan tiada (pembaikan) major (besar) untuk dilakukan.

"Jadi, dari segi persiapan keseluruhannya, kita sudah bersiap sedia, tidak ada masalah untuk menggunakan Lapangan Terbang Pangkor," katanya pada Program High Profile Policing (HPP) dan Kayuhan Komuniti Ketua Polis Perak, di Pangkor, di sini hari ini.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, penerbangan secara terus dari Subang ke Pangkor dijangka bermula pada bulan ini, namun ia bergantung kepada kesediaan pihak berkenaan untuk memulakan penerbangan mereka ke Pangkor.

"Tentang tarikh kesesuaian penerbangan seperti mana yang sudah diumumkan sebelum ini iaitu pada Januari (tetapi jika) kemungkinan (masih) ada kelewatan (memulakan operasi), ia mungkin ada sebab teknikal di pihak mereka (syarikat penerbangan berkenaan)," katanya.

Pada Disember lalu media melaporkan lapangan terbang berkenaan dijangka akan beroperasi semula pada 22 Januari ini dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, dilaporkan berkata berdasarkan perancangan awal, lapangan terbang itu sepatutnya beroperasi 1 Disember lalu tetapi ditunda berikutan beberapa perkara perlu diselesaikan.

Zambry (dua dari kanan) dan Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyertai program Kayuhan Komuniti Ketua Polis Perak, di Pulau Pangkor, hari ini. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Zambry (dua dari kanan) dan Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyertai program Kayuhan Komuniti Ketua Polis Perak, di Pulau Pangkor, hari ini. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X