Sabtu, 15 Januari 2022 | 1:57pm

1,300 anggota polis pantau SOP Thaipusam

GOMBAK: Seramai 1,300 anggota polis ditugaskan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sekitar Kuil Sri Subramaniam Batu Caves, dekat Gombak sempena sambutan Thaipusam, bermula esok hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata daripada jumlah itu, 318 anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) akan memantau aliran lalu lintas di kawasan berkenaan.

Penugasan berkenaan mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

"Aktiviti keagamaan sempena Thaipusam tertakluk kepada syarat ditetapkan Kementerian Perpaduan Negara. Pihak pengurusan kuil akan menyediakan tiga jenis pas kebenaran melakukan ritual keagamaan merangkumi pas masuk (penganut), pas sembahyang dan pas paal koodam (pembawa belangga susu).

"Upacara sembahyang tidak lebih 6,000 orang setiap hari dan setiap sesi selama 30 minit tidak lebih 500 orang. Membawa paal koodam tidak lebih 100 orang pada satu-satu masa.

"Upacara membawa kavadi tidak dibenarkan dan kompaun akan dikeluarkan jika kita mendapati ada individu yang melanggar SOP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Zainal Mohamed berkata, sebanyak tujuh jalan akan ditutup sekitar Batu Caves sempena perayaan berkenaan dalam tempoh sama.

"Jalan ditutup ialah persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu, susur dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves lama ke pintu utama kuil.

"Turut ditutup persimpangan lampu trafik Sri Batu Caves (SBC), persimpangan Jalan 8/Jalan Batu Caves lama, susur MRR2 dari Sri Gombak ke susur Jalan Perusahaan dan Jalan Perusahaan ke kuil Batu Caves," katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pas khas kemasukan ke kawasan kuil pada sambutan Thaipusam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. - NSTP/Owee Ah Chun
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pas khas kemasukan ke kawasan kuil pada sambutan Thaipusam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X