Jumaat, 14 Januari 2022 | 4:08pm
Pengerusi MAIWP,Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) melancarkan dana wakaf al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Pengerusi MAIWP,Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) melancarkan dana wakaf al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan - Foto NSTP/Samadi Ahmad

JAWI lancar dana wakaf al-Quran

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mensasarkan kutipan dana berjumlah RM700,000 bagi membeli sekurang-kurangnya 10,000 naskhah al-Quran untuk program sumbangan dana dan waqaf kepada masjid, surau Jumaat, surau sekolah yang terkesan dengan banjir di Wilayah Persekutuan.

JAWI dalam kenyataan media hari ini berkata sehingga kini sebanyak RM170,000 diterima daripada beberapa pihak seperti Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, inisiatif ini dilaksanakan susulan terdapat banyak naskhah al-Quran yang rosak dan musnah akibat banjir dialami individu atau institusi seperti masjid, surau dan sekolah di beberapa kawasan di seluruh negara.

Katanya, inisiatif ini juga sebagai lambang solidariti dan keprihatinan di samping menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan tadabbur al-Quran dalam masyarakat.

"JAWI melalui Masjid Wilayah Persekutuan telah menyerahkan 200 naskhah al-Quran waqaf sumbangan Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam yang terkesan akibat banjir semalam."

"Untuk rekod, JAWI melalui Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan al-Quran yang rosak akibat banjir sejak 20 Disember tahun lalu," katanya.

JAWI juga menerima sebanyak 25,354 kilogram al-Quran rosak daripada individu, sekolah, SWCorp dan beberapa pihak lain termasuk dari kawasan Hulu Langat dan Mentakab, Pahang.

Majlis pelancaran program dana al-Quran disempurnakan, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Mereka yang berminat boleh menghulurkan infaq dan sumbangan melalui kod QR yang disediakan di 89 masjid di seluruh Wilayah Persekutuan atau melalui Akaun Masjid Wilayah Persekutuan 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Berhad) yang berlangsung selama sebulan.

Berita Harian X