Rabu, 12 Januari 2022 | 10:27pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, menjadi saksi Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Ramli Din kepada Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat (Pengarah JPJKK baharu).
KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, menjadi saksi Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Ramli Din kepada Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat (Pengarah JPJKK baharu).

Ramli serah tugas Pengarah JPJKK kepada Mustafa Khan

KUALA LUMPUR: Datuk Ramli Din menyerahkan tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman kepada Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat dalam satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.

Mustafa Khan sebelum ini adalah Timbalan Pengarah JPJKK (Perancangan Strategik) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ramli atas bakti yang dicurahkan kepada pasukan itu selepas hampir 35 tahun berkhidmat hingga tarikh persaraan wajibnya esok.

"Semoga Ramli dan isteri, Datin Fauziah Md Khalis serta seisi keluarga sentiasa dirahmati Allah SWT, ucapan syabas dan tahniah juga dititipkan kepada Mustafa Khan yang akan memangku jawatan Pengarah JPJKK serta isteri, Datin Nor Hamiah Abdul Hamid Hasani sebagai Pemangku Pengerusi Perkep JPJKK.

"Saya yakin beliau mempunyai potensi dan kebolehan meneruskan kecemerlangan pasukan PDRM serta menjunjung tugas diamanahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut berlangsung upacara serah terima tugas bagi jawatan Pengerusi Perkep JPJKK daripada Fauziah kepada Nor Hamiah dengan disaksikan Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Zaitun Mohd Isa. – BERNAMA

Berita Harian X