Rabu, 12 Januari 2022 | 3:15pm
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang (tiga dari kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain (dua dari kiri) merasmikan pelancaran kerjaya ekonomi GIG untuk Veteran ATM dengan kerjasama CODE7 di Wisma Perwira ATM. - NSTP/Hazreen Mohamad
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang (tiga dari kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain (dua dari kiri) merasmikan pelancaran kerjaya ekonomi GIG untuk Veteran ATM dengan kerjasama CODE7 di Wisma Perwira ATM. - NSTP/Hazreen Mohamad

Ekonomi gig untuk pesara tentera

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melancarkan program Kerjaya Ekonomi Gig untuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pesara tentera di negara ini.

Program itu membabitkan rakan strategik iaitu sebuah syarikat keselamatan, Code 7 Tech Sdn Bhd (Code 7) dan dijangka akan memanfaatkan lebih 128,000 veteran, yang berusia 60 tahun ke bawah.

Timbalan Menteri Pertahan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata konsep gig yang diamalkan secara meluas di negara ini boleh dimanfaatkan kepada veteran ATM melalui inisiatif dan kepakaran yang sedia dimiliki.

Katanya, melalui kerjasama strategi bersama Code 7, veteran akan ditawarkan tangga gaji yang lebih menarik, selain masa yang lebih fleksibel.

"Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kedua kepada golongan veteran yang mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam keselamatan.

"Ini juga membuka peluang kepada mereka yang terkesan dengan pasca pandemik COVID-19 untuk menambah pendapatan," katanya selepas melancarkan program itu, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Code 7, Datuk Patrick Ong.

Mengulas mengenai tangga gaji, Ikmal Hisham berkata, pesara tentera akan memperoleh manfaat gaji sebanyak RM7.80 sejam serta dibayar setiap dua minggu sekali.

"Mengenai skop kerja pula, kebanyakannya membabitkan sektor keselamatan dan perkhidmatan mereka akan diperoleh oleh orang awam apabila melanggan melalui aplikasi yang disediakan.

"Sebagai contoh, jika ada pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan veteran seperti mengawal atau memeriksa kediaman, veteran ini akan sampai dan menerima bayaran atas perkhidmatan mereka," katanya.

Kata beliau, sehingga kini, seramai 204,156 orang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan 104,845 berpencen, manakala 73,835 adalah veteran tidak berpencen.

Bekas kor perkhidmatan, Rogayah Ghazali, 62, berkata beliau sememangnya ternanti-nantikan program yang boleh memberi manfaat kepada semua veteran terutamanya ketika berdepan dengan pasca pandemik COVID-19.

"Semua pihak berdepan dengan kegusaran apabila pandemik ini melanda dan sekiranya ada program membabitkan penambahan pendapatan seperti inisiatif baharu ATM ini, ia membuka peluang kepada ramai pesara seperti kami," katanya.

Bekas jurulatih ATM, K Silvadanan, berkata inisiatif baharu yang dianjurkan oleh ATM sememangnya baik, namun terdapat had umur tertentu bagi veteran yang layak.

"Kita semua mahu menyertai ekonomi gig ini tetapi mereka yang melebihi usia 60 tahun difahamkan tidak akan terbabit. Sebenarnya, kebanyakan daripada kami masih lagi sihat dan boleh berkhidmat jika diberikan peluang," katanya.

Bekas anggota logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), M.Chandra, 69, berkata beliau masih mampu memberi perkhidmatan berkaitan keselamatan seperti menjadi pengawal.

"Kita sentiasa didedahkan dengan pelbagai urusan keselamatan ketika berkhidmat dan sudah tentu kelebihan ini berguna jika diberi peluang untuk berada dalam ekonomi gig," katanya.

Berita Harian X