Isnin, 10 Januari 2022 | 3:04pm

Kutipan zakat Wilayah Persekutan catat peningkatan

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan peningkatan kutipan zakat harta dan zakat fitrah dengan jumlah keseluruhan RM828 juta, sepanjang tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata daripada jumlah zakat dikutip sepanjang tahun lalu, RM816 juta diperoleh daripada kutipan zakat harta manakala bakinya, RM12 juta daripada kutipan zakat fitrah.

Beliau berkata, kutipan zakat harta tahun lalu meningkat sembilan peratus berbanding hanya RM 750 juta pada tahun sebelumnya manakala kutipan zakat fitrah meningkat 10 peratus daripada hanya RM 11 juta pada tahun 2020.

Katanya, suasana mencabar tahun 2021 dengan ujian pandemik dan bencana banjir di beberapa negeri menyediakan cabaran buat PPZ-MAIWP dalam memastikan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan terus meningkat.

"Dengan berkat usaha warga kerja serta keprihatinan dan kesedaran pembayar zakat, MAIWP dan PPZ-MAIWP berjaya mencatatkan peningkatan kutipan zakat harta dan zakat fitrah sepanjang tahun lalu melalui 1.1 juta pembayar zakat.

"Kutipan zakat ini dapat dicapai atas beberapa faktor antaranya melalui Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat atau Skim Wakalah melalui MAIWP yang membolehkan pembayar zakat merasai sendiri pengalaman mengagihkan zakat kepada asnaf.

"Bagi meningkatkan kesedaran menunaikan zakat, MAIWP melaksanakan program agihan dalam tempoh pandemik dan bencana alam sekali gus meningkatkan keyakinan pembayar serta bakal pembayar zakat untuk membuat bayaran kepada PPZ-MAIWP," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2021 di Wilayah Persekutuan dan Penyampaian Hadiah Kempen Year End Zakat (YEZ) di Wisma PPZ, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Idris berkata, penutupan beberapa sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan peningkatan golongan B40 dan M40 yang menjadi asnaf segera dan memerlukan bantuan.

Ia menyebabkan jumlah penerima bantuan secara langsung melalui Skim Bantuan dan dana zakat MAIWP meningkat daripada 201, 779 kepada 216, 525 orang pada tahun 2020.

"Sejak PKP 1.0 hingga PKP 3.0, MAIWP sudah mengagihkan hampir RM106 juta bagi membantu golongan terjejas sepanjang pandemik menerusi pelbagai inisiatif dan kumpulan sasar malah terbabit dalam pemberian vaksinasi kepada asnaf dan masyarakat sekitar.

"MAIWP juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi program Gerobok Rezeki di 100 sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan, masjid dan surau serta serta tadika Islam miliknya," katanya.

Sehingga Disember tahun lalu, MAIWP sudah mengagihkan sejumlah RM 725 juta menerusi agihan secara langsung dan tidak langsung.

Ia dilakukan menerusi 30 Skim Bantuan Baitulmal MAIWP termasuk melalui Institusi Pendidikan dan Kebajikan serta agihan tidak langsung melalui perbelanjaan membabitkan pembangunan dan penyelenggaraan prasarana umat Islam.

Idris (tengah) bersama Mohd Daub (kanan) dan Abdul Hakim pada Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2021 di Wilayah Persekutuan di Wisma Pusat Pungutan Zakat, Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Amirudin Sahib
Idris (tengah) bersama Mohd Daub (kanan) dan Abdul Hakim pada Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2021 di Wilayah Persekutuan di Wisma Pusat Pungutan Zakat, Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Amirudin Sahib
Berita Harian X