Isnin, 10 Januari 2022 | 1:29pm

8,257 rumah terjejas banjir bakal diselenggara

PUTRAJAYA: Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, membabitkan 8,257 rumah yang dikesan terjejas banjir luar biasa pada Disember, tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjelaskan perangkaan itu tidak statik sebaliknya boleh berubah mengikut perkembangan keadaan semasa berikutan sesetengah kawasan masih dilanda banjir.

Berdasarkan jumlah sedia ada, katanya, sebanyak 8,139 adalah rumah yang akan dibaik pulih, manakala 118 lagi untuk pembinaan baharu.

"Fasa pertama inisiatif ini membabitkan pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di peringkat daerah, penyelarasan data di peringkat negeri oleh kerajaan negeri dan maklumat rakyat terkesan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai pusat data utama mangsa banjir.

"Fasa kedua pula merangkumi proses pemeriksaan, penilaian dan pengesahan data, membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kerajaan negeri.

"Fasa ketiga adalah kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudian akan dilaporkan semula kepada ICU," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bagi memastikan kelancaran aspek pelaksanaan, Reezal berkata tempoh bagi bina baharu yang ditetapkan ialah antara empat hingga enam bulan, manakala dua minggu bagi tujuan baik pulih.

Katanya, peruntukan untuk baik pulih setakat ini adalah antara RM5,000 hingga RM15,000 dan nilai ambang bagi bina baharu kediaman ialah RM56,000.

"Pelaksanaan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di peringkat KPKT akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), selain JKR serta kerajaan negeri melalui kontraktor yang dilantik.

"Sehingga hari ini, anggaran awal kos di peringkat KPKT adalah RM83.4 juta yang mana SPNB akan membina baharu, manakala PR1MA akan melakukan kerja-kerja baik pulih.

"Cadangan reka bentuk rumah bakal menggunakan model JKR iaitu rumah kekal banjir atas tiang dan rumah kekal banjir atas tanah, dengan keluasan 600 kaki persegi (55.74 meter persegi) menerusi teknologi Sistem Bangunan Industri (IBS)," katanya.

Tatkala proses bina baharu kediaman dibuat, Reezal menjelaskan bahawa pihaknya akan memperuntukkan baucar sewa kepada pemilik kediaman sebagai bantuan awal.

Sementara itu, Mahdzir berkata, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi tujuan operasi pasca banjir untuk kedua-dua kementerian mencecah RM200 juta.

"RM100 juta untuk tujuan baik pulih dan bina baharu kediaman, manakala RM100 juta lagi bagi infrastruktur awam," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto fail NSTP
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto fail NSTP
Berita Harian X