Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:19pm

Raja Bomoh, Puteri Zaleha bebas dengan jaminan mahkamah

IPOH: Individu digelar sebagai Raja Bomoh yang ditahan atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.

Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin, 71, dan Puteri Zaleha atau nama sebenar Suliaha Abdul Hamid, 62, masing-masing diperintahkan Hakim Syarie, Mohd Najib Ab Razak untuk membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Mahkamah membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie Negeri Perak, Suhaili Ishak yang dikemukakan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Prosiding dilakukan Suhaili manakala kedua-dua individu yang disiasat tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding itu, Suhaili memberitahu mahkamah bahawa dua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari.

Suhaili memohon agar mahkamah mengenakan kadar jaminan maksimum RM3,000 mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes yang sudah tular dan mendapat perhatian umum.

Ibrahim bagaimanapun memohon wang jaminan dikurangkan berikutan keadaan ekonomi tidak stabil selain perlu menanggung tiga isteri dan 32 orang anak.

Suliaha turut memohon wang jaminan dikurangkan berikutan dirinya yang hidup bersendirian dan tidak mempunyai ekonomi kukuh.

Terdahulu individu yang digelar 'Raja Bomoh' yang memakai sut hitam dan 'Puteri Zaleha' kelihatan tiba di perkarangan Mahkamah pada jam sekitar 10 pagi.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh berhubung satu ritual menolak banjir dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Individu digelar sebagai Raja Bomoh dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Individu digelar sebagai Raja Bomoh dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X