Khamis, 6 Januari 2022 | 2:45pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - Foto NSTP/Zaid Salim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - Foto NSTP/Zaid Salim

Kerajaan harap Arab Saudi benar jemaah tunai haji tahun ini

KUALA TERENGGANU: Malaysia berharap kerajaan Arab Saudi mengekalkan keputusan membenarkan jemaah luar negara menunaikan ibadah haji tahun ini meskipun dunia berdepan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata setakat pertemuan awal dengan kerajaan Arab Saudi Disember lalu, ibadah haji untuk tahun ini masih dibenarkan.

Katanya, penetapan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini juga belum diputuskan kerana Arab Saudi sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

"Kita berharap kuota yang dibenarkan sebelum ini iaitu seramai 30,000 jemaah setiap tahun dapat dikekalkan.

"Kita juga akan mengadakan pertemuan semula dengan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya Februari depan bagi membincangkan hal-hal berkaitan termasuk jumlah kuota yang dibenarkan," katanya pada Konvensyen Pendidikan Islam Terengganu 2021 di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Idris berkata, walaupun dunia diancam virus Omicron, kerajaan berharap ia tidak menjadi penyebab kerajaan Arab Saudi menyekat atau menutup kemasukan jemaah dari negara ini.

"Setakat ini Arab Saudi hanya melaksanakan semula penjarakan antara saf bagi mengawal jangkitan," katanya.

Bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.

Pada 2020, Rukun Islam kelima itu turut diadakan dengan hanya diberikan kepada penduduk setempat dan ekspatriat di Arab Saudi berikutan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata orang ramai digalakkan membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekiranya terdapat perbuatan khurafat dan berunsur sesat yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Ia susulan kemunculan individu dikenali sebagai raja bomoh dan Puteri Zaleha yang mengadakan ritual menolak banjir di Dataran JPS di Teluk Intan, Perak yang tular di lama sosial.

"JAKIM tidak ada kuasa untuk mendakwa... itu kuasa negeri, tetapi kita boleh maklum pada Jabatan Agama Islam negeri untuk mereka ambil tindakan, siasat dan dakwa.

"Ikut pengalaman saya semua pihak berkuasa negeri memang akan bertindak segera jika ada kes-kes yang bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.

Berita Harian X