Rabu, 5 Januari 2022 | 11:11am
Gambar hiasan - contoh binaan rumah di kawasan kampung atau tanah persendirian yang perlu mengambil kira lokasi, keperluan penghuni dan peruntukan
Gambar hiasan - contoh binaan rumah di kawasan kampung atau tanah persendirian yang perlu mengambil kira lokasi, keperluan penghuni dan peruntukan

Pembinaan semula rumah mangsa banjir perlu kalis bencana

KUALA LUMPUR: Pembinaan semula struktur termasuk rumah mangsa yang musnah di kawasan yang mudah terjejas banjir seperti dirancang oleh kerajaan, perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh, terutama segi perparitan dan kolam takungan air.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Zulkhairi Md Zain, berkata reka bentuk rumah perlu diteliti dan dibina mengikut kesesuaian kawasan, jumlah penghuni dan peruntukan.

"Kita perlu melihat perancangan infrastruktur di kawasan itu, dari segi kejuruteraan awam dan hidrologi, bukan hanya bentuk rumah saja bagi untuk menghalang banjir memusnahkan rumah penduduk.

"Jika pembangunan seperti perumahan dirancang berdekatan sungai, aspek seperti perparitan dan pembinaan kolam takungan amat penting, yang perlu mengambil kira anggaran taburan hujan supaya infrastruktur itu mampu menampung hujan dan tidak mengakibatkan banjir yang menjejaskan penduduk," katanya kepada BH, hari ini.

Mengenai reka bentuk rumah, Zulkhairi yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni bina, berkata bagi rumah bertanah seperti teres, pembinaannya perlu dibuat di atas platform yang melebihi paras air banjir, manakala bagi rumah di kawasan kampung atau pinggir bandar, ia perlu dibina di atas tiang dengan turut mengambil kira aspek sama.

"Jika paras banjir di kawasan itu adalah satu meter, rumah itu perlu dibina di atas platform pada paras melebihi satu meter, jadi tanah perlu ditambak untuk meninggikan sesuatu kawasan terbabit.

"Bagi rumah di kawasan kampung, termasuk bagi pembinaan semula rumah yang musnah akibat banjir seperti di Hulu Langat, rumah yang dibina perlulah bertiang dengan asas yang kukuh.

"Bahan untuk pembinaan rumah boleh menggunakan bahan binaan komposit, yang kebanyakannya kalis air, ringan, tidak diserang anai-anai dan dihasilkan dengan banyak di kilang atau sistem binaan berindustri (IBS)," katanya.

Beliau berkata, keluasan rumah yang dibina pula disarankan mengikut jumlah ahli keluarga, contohnya 800, 1,000 atau 1,200 kaki persegi (74.3, 92.9 atau 111.48 meter persegi).

"Anggaran bagi satu kaki persegi adalah antara RM100 ke RM120, bergantung kepada harga semasa bahan binaan dan kaedah penghantaran ke kawasan bencana kerana kadangkala, kenderaan khas diperlukan untuk membawa bahan itu, selain keadaan jalan yang mungkin rosak.

"Tempoh pembinaan sesebuah rumah dijangka mengambil masa empat hingga lapan bulan dan ia juga bergantung kepada tempoh kelulusan permohonan oleh pihak berkaitan, tapak pembinaan bebas daripada sampah sarap banjir, bahan binaan boleh didapati dengan cepat dan sumber manusia yang cukup serta konsisten," katanya.

Zulkhairi memaklumkan, PAM sebagai badan profesional yang mempunyai ramai pakar dalam bidang seni bina, perancangan perbandaran dan pengurusan projek pembinaan, bersedia dan berupaya menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam mengendalikan pembinaan semula rumah mangsa banjir dan lain-lain bencana.

Zulkhairi Md Zain
Zulkhairi Md Zain

"Baru-baru ini pun, kita melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mangsa banjir di empat kawasan termasuk di Hulu Langat dan Bentong, bersama MERCY Malaysia, Malaysian Relief Agency (MRA) serta Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

"Selain membantu kerja pembersihan dan agihan bantuan makanan, PAM membantu melakukan pemetaan rumah yang terkesan menggunakan aplikasi Google Map dan gambar yang diambil melalui dron.

"Melalui pemetaan ini, kita dapat melihat tahap kerosakan untuk kerja pembinaan semula rumah atau pembaikan, selain anggaran bahan binaan yang diperlukan. Ada juga pembekal bahan binaan yang bermurah hati untuk menyumbang bahan kepada mangsa," katanya.

Mengenai cabaran yang mungkin dihadapi kerajaan dalam pembinaan semula rumah mangsa banjir, Zulkhairi berkata, faktor pemilikan tanah boleh menjadi isu yang melambatkan pembinaan, contohnya jika penghuni rumah bukan pemilik asal tanah seperti tanah pusaka atau tanah pajakan.

Selain itu katanya, kelulusan bagi pelan bangunan mungkin mengambil masa kerana keperluan pematuhan syarat oleh agensi kerajaan, kemungkinan tapak rumah perlu diperbaiki terlebih dulu dan faktor cuaca.

Berhubung langkah pemulihan bagi rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam yang teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini, Zulkhairi berkata, kajian perlu dibuat pihak berkuasa untuk melihat kemungkinan membesarkan sungai atau sistem pengepaman air banjir ke sungai yang lebih baik.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan memperuntukkan RM967.2 juta bagi melaksanakan inisiatif pemulihan kawasan bencana banjir sepanjang Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara.

Sebanyak 32 pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan yang terjejas banjir menerima peruntukan RM50 juta bagi kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu mangsa yang terbabit, selain RM50 juta bagi kerja pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan peruntukan RM56,000 untuk membina setiap unit rumah baharu dan RM15,000 pula bagi pembiayaan membaik pulih rumah yang terjejas.

Berita Harian X