Selasa, 4 Januari 2022 | 3:29pm
Petugas memeriksa kedalaman lubang di Jalan Kinabalu, pagi tadi. - Foto PDRM
Petugas memeriksa kedalaman lubang di Jalan Kinabalu, pagi tadi. - Foto PDRM

Tanah mendap, Jalan Kinabalu arah Cheras ditutup

KUALA LUMPUR: Polis menutup Jalan Kinabalu arah Cheras di belakang Rumah Persekutuan, di sini, susulan kejadian tanah mendap hingga mengakibatkan jalan berlubang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata penutupan bermula jam 10.30 pagi tadi, manakala kerja pembaikan jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil masa dua hingga tiga hari.

Pengguna jalan raya disaran tidak menggunakan laluan itu dan mematuhi papan tanda arahan disediakan.

"Lalulan alternatif membabitkan kenderaan dari Selayang ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato' Onn, Jalan Parlimen seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan selatan semula.

"Kenderaan dari Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau utara semula. Kenderaan dari Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato' Onn dilencongkan ke Jalan Kuching.

"Kenderaan dari Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato' Onn dihalakan terus ke Jalan Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X