Selasa, 4 Januari 2022 | 1:48pm
MET Malaysia meramalkan keadaan cuaca di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka akan bertambah baik, hari ini. - Foto Bernama
MET Malaysia meramalkan keadaan cuaca di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka akan bertambah baik, hari ini. - Foto Bernama

Amaran hujan berterusan di lima negeri ditamatkan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menamatkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dan waspada di lima negeri di Semenanjung, iaitu Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata amaran hujan berterusan yang dikeluarkan sejak tengah hari semalam, ditamatkan pada jam 1 tengah hari, hari ini.

"Keadaan cuaca di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka akan bertambah baik.

"Sehubungan itu, amaran hujan berterusan yang dikeluarkan pada jam 1.10 tengah hari, 3 Januari 2022 untuk negeri berkenaan dengan ini ditamatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Helmi menegaskan, MET Malaysia masih mengekalkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Kudat serta beberapa kawasan di Sandakan, Sabah sepanjang hari ini.

Amaran peringkat waspada bermakna hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari, atau hujan berterusan atau ribut petir sedang berlaku tetapi belum mencapai peringkat buruk.

"Amaran hujan berterusan (waspada) masih berkuat kuasa sehingga 4 Januari 2022 bagi Sabah untuk kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia,

aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MET Malaysia.

Talian hotline MET Malaysia 1300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Berita Harian X