Isnin, 3 Januari 2022 | 4:51pm
Penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir, sejak 18 Disember lalu. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir, sejak 18 Disember lalu. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas ditenggelami banjir ekoran hujan lebat Sabtu lalu dan siren amaran tidak berfungsi. - Foto BERNAMA
Perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas ditenggelami banjir ekoran hujan lebat Sabtu lalu dan siren amaran tidak berfungsi. - Foto BERNAMA

Wujudkan sistem amaran banjir berpusat

KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) mencadangkan Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat diwujudkan bagi memberi amaran kepada penduduk di kawasan berisiko.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sistem amaran diselaras oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mengambil contoh penggunaan siren yang dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam sewaktu bencana banjir, baru-baru ini.

"Kerajaan juga akan menambah jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah.

"Kamera litar tertutup (CCTV) juga akan dipasang di stesen pemantauan aras air agar penduduk bersedia untuk berpindah, sekiranya air berada pada paras bahaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, berkata cadangan itu dikemuka dalam Mesyuarat Khas Pasukan Petugas Pengurusan Paca Banjir Monson Timur Laut 2021/2022, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah agensi-agensi berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat serta Pengarah Pembangunan Negeri.

Perdana Menteri berkata, METMalaysia turut mencadangkan penggunaan Ramalan Cuaca Berangka di samping pelaksanaan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam menerusi latih amal banjir dan maklumat yang dihebah oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air pula mencadangkan peningkatan tahap perlindungan atau kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI.

Katanya, ini bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pula akan dilaksanakan sejurus selepas tamat Monsun Timur Laut bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara," katanya.

Berita Harian X