Ahad, 2 Januari 2022 | 5:42pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Beberapa kampung di Besut dijangka banjir Selasa ini

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di daerah Besut, Terengganu dijangka dilanda banjir Selasa ini berikutan amaran hujan berterusan peringkat bahaya yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pagi tadi.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Malaysia (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran berkata, Amaran Banjir Terengganu memaklumkan banjir diramalkan berlaku di Kampung Keruak, Kampung Belaoh serta kawasan rendah sekitarnya mula jam 9 pagi Selasa ini.

Dalam kemas kini setakat jam 3 petang itu, ramalan banjir itu disebabkan aras air meningkat di lembangan Sungai Besut yang membabitkan Sungai Keruak dan Sungai Besut di Besut.

"Justeru penduduk terutama di kaweasan yang dijangka banjir diminta berwaspada.

"Maklumat dan amaran akan disalurkan kepada agensi pengurusan bencana, media dan orang awam melalui laman sesawang public.water.gov.my," katanya dalam kenyataan yang dikemas kini sehingga jam 3 petang.

Selain maklumat dari masa ke masa boleh diperoleh dari Facebook, PublicInfoBanjir dan twitter, JPS_InfoBanjr.

Berita Harian X