Sabtu, 1 Januari 2022 | 2:23pm

Langkah jangka panjang kurangkan risiko, kesan banjir - PM

TEMERLOH: Kerajaan akan memberi tumpuan untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan ditanggung akibat banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sebaik operasi pasca banjir berakhir, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dianggotai semua menteri besar dan ketua menteri akan membincangkan isu, penyelesaian serta model bersesuaian bagi menangani bencana itu dalam skala besar.

"Usaha mengurangkan kesan banjir akan menjadi keutamaan kerana kita sudah bincangkan langkah jangka pendek dan jangka panjang dalam mesyuarat pada Oktober lalu.

"Kemudian banjir melanda. Pelan mitigasi itu akan mengenal pasti kawasan kritikal yang kerap dilanda banjir dan apa yang boleh dilakukan bagi mengelak banjir berulang setiap tahun.

"Sebagai contoh, kita akan dalamkan sungai selepas mendapat laporan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Di Kedah, tali air yang cetek mungkin kita perlu dalamkan, bina tebing konkrit di sepanjang sungai bagi mengelak air daripada melimpah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan banjir Keluarga Malaysia kepada 600 ketua keluarga di Lanchang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, Yahya Majid (kiri) pada Misi Bantuan #KeluargaMalaysia kepada mangsa banjir di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman Lanchang hari ini.
Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua, kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan). - Foto BERNAMA

Perdana Menteri berkata, sejumlah RM1.4 bilion sudah dibelanjakan sebagai bantuan banjir setakat ini dan jumlahnya dijangka meningkat sebaik kerajaan menerima laporan terperinci berhubung perkembangan semasa.

Ismail Sabri berkata, sebaik penyelesaian terbaik dikenal pasti, kerajaan akan mengkaji kos diperlukan dan melaksanakan langkah mitigasi diperlukan.

"Kita mungkin tidak dapat melaksanakan semua pelan mitigasi secara serentak kerana ia memakan masa, tetapi tumpuan akan diberi terhadap daerah yang mudah dilanda banjir, yang lebih awal dinaiki air sedangkan tempat lain dalam daerah sama belum banjir.

"Modul luar negara boleh dipertimbangkan jika sesuai dilaksanakan di Malaysia, seperti konsep 'sponge city' di China yang membantu memperlahankan aliran banjir atau 'river dikes' di Belanda," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama mangsa banjir, Zakiah Yakob 84, ketika hadir pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir di Lanchang, Temerloh. -NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Perdana Menteri berkata, turut boleh dilaksanakan ialah pembinaan lebih banyak tebatan banjir dan terowong dilengkapi pengurusan banjir seperti Terowong SMART di ibu negara di kawasan bandar berisiko seperti di Shah Alam, Selangor.

Bagi kawasan rendah yang kerap dilanda banjir, katanya, rancangan penempatan semula banjir yang pernah dilaksanakan sekitar 1970-an boleh dikaji semula.

"Ini perlu dibincang dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti kawasan tinggi yang sesuai manakala kerajaan Persekutuan membantu dari segi peruntukan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan serta orang persendirian yang bukan hanya menghulurkan bantuan keika banjir, tetapi terus membantu dalam operasi pascabanjir.

Mengenai desakan sesetengah pihak supaya pengeluaran RM10,000 sekali bayar menerusi i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan walaupun bantuan banjir diberikan mencecah RM10,000, Ismail Sabri berkata, beliau hanya menjaga kepentingan rakyat.

"Mana yang tidak berpuas hati dan mengecam, akan terus berbuat begitu di media sosial. Masing-masing ada tugas. Saya harap kita tidak terkesan dengan serangan yang dibuat kerana kita menjalankan tanggungjawab.

"Biarkanlah, ini tidak akan menyekat saya daripada terus bekerja," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Misi Bantuan #KeluargaMalaysia kepada mangsa banjir di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman Lanchang hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Misi Bantuan #KeluargaMalaysia kepada mangsa banjir di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman Lanchang hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X