Sabtu, 1 Januari 2022 | 10:47am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'KPM perlu selesaikan isu keciciran murid'

PUTRAJAYA: Sektor pendidikan negara bakal berdepan isu keciciran dalam kalangan murid yang gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) pada tahun ini, berikutan penularan pandemik COVID-19.

Pakar Pendidik dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata ramai murid khususnya di peringkat Tahun Satu dan Tahun Dua berdepan masalah itu yang memerlukan perhatian serius, sekali gus menyebabkan mereka berdepan masalah pembelajaran pada masa akan datang.

"Jadi, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera membangunkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi memastikan masalah keciciran pendidikan dapat dipantau dan diselesaikan segera.

"Selain itu, pembangunan pengajaran hibrid berasaskan internet dan teknologi maklumat juga perlu ditambah baik. Pelancaran jalur lebar 5G adalah satu cabaran besar kepada sistem pendidikan negara khususnya bagi memastikan jurang pendidikan murid di luar bandar dan kawasan bandar dirapatkan," katanya.

Anuar berkata, KPM sepatutnya sudah mula mewujudkan pasukan khas, dengan mengambil kira pengalaman pandemik COVID-19 dan bencana banjir ketika ini, untuk meneliti bentuk serta model pendidikan masa depan negara.

Beliau berkata, KPM juga perlu menubuhkan unit khas berkaitan pengurusan pendidikan negara ketika krisis dan bencana melanda negara.

Katanya, biarpun sektor pendidikan negara melihat beberapa pencapaian sepanjang 2021 seperti keupayaan KPM menyelesaikan isu lambakan siswazah pendidikan dengan mewujudkan 18,702 jawatan baharu guru siswazah serta isu guru dukalara, tahun lalu juga menyaksikan keadaan kurang memberangsangkan kepada sektor berkenaan.

"Menteri Kanan Pendidikan sendiri mengaku di Dewan Rakyat bahawa pencapaian pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak 2020 adalah sederhana saja.

"Hakikatnya, masih ramai murid tidak hadir PdPR sepanjang 2020 dan 2021 khususnya di kawasan pedalaman, luar bandar atau murid daripada keluarga miskin di bandar.

"Selain isu PdPR kurang berjaya diuruskan dengan baik, beberapa isu lain seperti beg berat, isu buli dan beban tugas guru yang berlebihan juga masih gagal diselesaikan sepanjang 2021.

"Malah, kejadian buli di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar membuka lebih banyak perdebatan mengenai peranan ibu bapa dan had kuasa guru seperti merotan dalam melaksanakan peraturan disiplin kepada murid," katanya.

Anuar berkata, KPM menerima peruntukan paling besar berbanding kementerian lain bagi Belanjawan 2022 iaitu RM52.6 bilion dengan sebahagian besar untuk belanja mengurus sektor pendidikan.

Katanya, hanya RM746 juta saja disediakan untuk menaik taraf sekolah daif di seluruh negara dan ia tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu sekolah daif yang menjadi antara punca utama berlaku jurang pendidikan dalam kalangan murid," katanya.

Berita Harian X