Khamis, 30 Disember 2021 | 4:38pm

Sistem penggera banjir beroperasi di Lembah Klang 2023

KUALA LUMPUR: Sistem Pusat Kawalan dan Ramalan Banjir Negara (PRABN) di kawasan Pantai Barat dan Lembah Klang yang berupaya memberi ramalan banjir seawal tujuh hari sebelum kejadian dijangka beroperasi pada 2023.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata dengan adanya PRABN itu, selain tujuh hari awal ramalan, sistem itu berupaya memberi amaran dua hari sebelum kejadian banjir monsun.

"Amaran dua hari itu menunjukkan hampir pasti berlaku kejadian banjir dan sebelum kita memaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri.

"Hingga kini PRABN mempunyai lebih 1,100 stesen di sepanjang sungai yang boleh mengesan kenaikan aras air siap dengan kamera sekali.

"PRABN hampir sempurna di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan dan kita sedang menyiapkan sistem sama di Pantai Barat dan Lembah Klang yang mana ia akan dipercepatkan," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melawat PRABN di JPS Ampang, di sini.

Pada masa sama, Zaini berkata PRABN merangkumi 41lembangan sungai dan dibangunkan dalam tiga fasa di mana fasa satu membabitkan tiga lembangan sungai di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Fasa dua membabitkan 38 lembangan dan fasa tiga sebanyak 23 lembangan.

PRABN berupaya memberi tempoh masa yang mencukupi untuk penduduk dan agensi bertanggungjawab bertindak awal selain mengurangkan kerugian harta benda awam hingga 30 peratus setahun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi, berkata penduduk di kawasan berisiko banjir diminta melakukan persediaan seawal menerima amaran waspada (kuning) kerana keadaan boleh bertukar kepada merah dengan pantas.

Beliau berkata, angin kencang Timur Laut yang bergerak kuat boleh menyebabkan risiko cuaca buruk bertukar kepada merah dalam masa yang pantas.

"Kebiasaannya orang tunggu naik kepada jingga atau merah baharu nak buat peraediaan namun kali ini amaran kuning juga sudah perlu berjaga termasuk melakukan persediaan untuk pindah dan mengikut arahan pihak berkuasa," katanya.

Mohd Zuki (tengah), Ir Dr Zaini Ujang (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kompleks JPS Ampang. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Mohd Zuki (tengah), Ir Dr Zaini Ujang (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kompleks JPS Ampang. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Berita Harian X