Khamis, 30 Disember 2021 | 1:53pm

PDRM rampas 27 tan dadah, hampir RM1 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas lebih 27 tan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM951.69 juta sepanjang tahun ini.

Berdasarkan rekod serbuan dan operasi, kejayaan membanteras aktiviti pengedaran dadah terbesar pada tahun ini banyak dilakukan di Johor dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata rampasan terbesar dadah dalam tahun ini adalah kerana Malaysia dijadikan pilihan oleh sindiket sebagai lokasi transit.

"Dadah yang paling banyak dirampas adalah syabu dengan berat 7.9 tan dan jumlah ini meningkat 86 peratus berbanding tahun lalu.

"Turut mencatat rampasan terbesar adalah kandungan Ephedrine atau bahan utama untuk menghasilkan dadah iaitu sebanyak 5.5 tan dan bahan kimia sebagai kandungan dadah dengan 3.1 tan," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Razarudin berkata, rampasan yang turut mencatatkan peningkatan adalah dadah jenis Eramin Five, heroin, pil captagon, ketamin dan pil yaba.

Katanya, JSJN juga turut membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara sepanjang tahun ini dan 20 makmal dadah sepanjang 2020.

"Sepanjang tahun ini JSJN membongkar tujuh makmal memproses heroin, masing-masing empat makmal memproses estacy dan ketamin, tiga makmal memproses syabu dan satu makmal memproses eramin five," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya turut mengesan 92 pangkalan haram di Sungai Golok, Kelantan yang digunakan sindiket dadah.

Katanya, sindiket menyeludup dadah dengan menggunakan bot melalui Sungai Golok, sebelum menyembunyikan dadah itu di sebalik semak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Berita Harian X