Rabu, 29 Disember 2021 | 3:42pm
Foto fail BERNAMA
Foto fail BERNAMA

Amaran Hujan Berterusan untuk Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan atau waspada bagi beberapa kawasan di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 2 Januari ini.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 3 Januari ini.

Sehubungan itu, katanya, Amaran Hujan Berterusan sehingga 2 Januari dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sabah seperti Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

"Selain itu, Amaran Hujan Berterusan turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor berkuatkuasa 30 Disember (esok) hingga 1 Januari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Helmi berkata, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

"Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari ini," katanya.

Berita Harian X