Rabu, 29 Disember 2021 | 12:20pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Sistem SmartTAG mampu percepat lebuh raya bebas kesesakan

KUALA LUMPUR: Sistem SmartTAG diyakini mampu mempercepatkan pelaksanaan lebuh raya bebas kesesakan berbanding sistem pembayaran menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang disifatkan masih baru.

Pengarah EFKON Asia Sdn Bhd (EFKON Asia), Helmuth Blasch, berkata sistem yang terbukti berkesan itu bersedia membantu mempercepatkan pelaksanaan sistem aliran bebas trafik berbilang lorong dan membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Beliau berkata, pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada keperluan menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Katanya, sistem menggunakan kad Touch 'n Go (TnG) dan unit pembaca tol SmartTAG itu sehingga kini mempunyai lima juta pengguna dan jumlahnya semakin berkembang.

"Usaha menaik taraf berterusan meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara berbanding sistem pembayaran RFID yang masih baru.

"Malah ia juga ideal dan lebih maju bagi mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

EFKON Asia adalah penyedia teknologi Austria bagi sistem kutipan tol Infra-Merah (IR) di lebuh raya di negara ini.

Sebelum ini Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian Kelas 1 akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari depan.

Pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

Kutipan tol menggunakan kad TnG dan SmartTAG masih diteruskan namun ia akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.

Blasch berkata, pada tahun ini dianggarkan 75 peratus daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia sehingga September tahun ini, dilengkapi pembaca tol terbina dalaman atau peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG.

"Ia petunjuk jelas sistem IR sudah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif.

"Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuhraya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) terbukti sangat berkesan bagi memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100 km setiap jam.

"Teknologi IR yang digunakan sama seperti di Malaysia dan kejayaan ini kami ulangi di negara ini," katanya.

Berita Harian X