Sabtu, 25 Disember 2021 | 12:03am
Datuk Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Disember ini. Razarudin, 58, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada 25 Disember. - foto BERNAMA
Datuk Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Disember ini. Razarudin, 58, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada 25 Disember. - foto BERNAMA

Mazlan serah tugas kepada Razarudin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mazlan Lazim menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Razarudin Husain dalam satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Razarudin sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada Mazlan atas segala pengorbanan, jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang 35 tahun dalam PDRM.

"Seluruh warga PDRM mengucapkan tahniah kepada Razarudin atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu dan yakin kepadanya yang berpengalaman luas dalam bidang kepolisan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Pelantikan Razarudin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa pada 26 Dis ini menggantikan Mazlan, 59, yang bersara wajib esok.

Pelantikan Razarudin, 58, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. – BERNAMA

Berita Harian X