Khamis, 23 Disember 2021 | 3:13pm
FOTO Bernama
FOTO Bernama

4 agensi diarah beri laporan bencana setiap hari kepada rakyat

KUALA LUMPUR : Empat agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana negara diarah memberi laporan hariannya berkenaan situasi banjir dan bencana di seluruh negara kepada rakyat bermula hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan agensi utama seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya sudah mengarahkan NADMA, PDRM, BOMBA dan ATM untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.

"Pembabitan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana ini harus berada di tahap sentiasa bersedia," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Beliau yakin, laporan oleh agensi ini khususnya mengenai situasi terkini banjir di beberapa negeri akan dapat memberi gambaran jelas semasa mengenai bencana di seluruh negara.

"Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

"Sidang media OP BANJIR ini bertujuan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir dan persediaan-persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana," katanya.

Pagi tadi, sidang media pertama dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Seterusnya sidang media oleh Ketua Pengarah Bomba, Datuk Mohammad Hamdan Wahid serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dijadual petang ini.

Berita Harian X