Khamis, 23 Disember 2021 | 1:09pm
Keluarga Panimalar Murugan menerima set DuckiePi dari Universiti Taylor semasa pelancaran Makmal Komputer DuckiePi - FOTO Taylor’s University
Keluarga Panimalar Murugan menerima set DuckiePi dari Universiti Taylor semasa pelancaran Makmal Komputer DuckiePi - FOTO Taylor’s University

Sasar sifar keciciran akses pendidikan melalui peranti DuckiePi

TAYLOR'S University telah melancarkan Makmal Komputer DuckiePi, yang dilengkapkan dengan peranti pembelajaran DuckiePi yang dicipta oleh pelajarnya, untuk manfaat komuniti di sekitar PPR Lembah Subang 1 dan 2.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Universiti untuk merapatkan jurang digital dan pendidikan dalam kalangan komuniti B40 yang terjejas sejak pandemik Covid-19. 

Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor's University Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock berkata, wabak pandemik telah mengakibatkan pembelajaran untuk hampir lima juta pelajar di Malaysia terjejas kerana ramai komuniti B40 kekurangan peralatan, menyebabkan anak-anak tidak dapat mengikut kelas secara maya atau kesulitan mengakses sumber-sumber pembelajaran.

Tambah Ho, projek ini lahir dari Taylor'sphere iaitu sebuah ekosistem pembelajaran dan komuniti yang memupuk pertumbuhan intelek, mental dan emosi pelajar.

"Sebagai sebuah ekosistem yang memperkasakan pembelajaran yang memupuk sahsiah pelajar yang kuat dan berkemahiran, pelajar kami dari Taylor's Makers Club, Kelab Robotik dan Agen Teknologi telah bergabung tenaga untuk membangunkan Taylor's DuckiePi," katanya. 

Peranti DuckiePi dibangunkan oleh pelajar dan alumni Taylor's, Bernard Yap Kah Huan, Ong Wea Hung, Ang Jia Hui (Jasper) dan Norman Heng Chon Sheng, daripada fakulti kejuruteraan mekanikal, IT dan sains komputer.

Dibina dengan kos RM500 setiap satu, setakat ini Taylor telah mengumpulkan dana lebih RM70,000 dan membina sebanyak 158 DuckiePi telah disumbangkan kepada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara. 

Dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Taylor's Me.reka Makerspace (TMM), DuckiePi dikuasakan oleh Raspberry Pi, komputer papan tunggal sebesar kad kredit dan mempunyai aplikasi seperti Zoom dan Google Suites, dengan fungsi mikrofon dan  kamera.

Image

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata penting bagi setiap individu untuk mendapat akses kepada pendidikan terutama kanak-kanak sepanjang musim pandemik disebabkan mereka tidak dapat menghadiri kelas dalam talian atau mempunyai akses yang sedikit kepada sumber pembelajaran.

"Kewujudan peranti ini sedikit banyak dapat memperkasakan kanak-kanak dan memberi mereka peluang untuk memperoleh pengetahuan dan memastikan pembelajaran tidak berhenti. 

Image

Tambahnya lagi, Makmal Komputer DuckiePi, yang kini terletak di ChilHub dikendalikan oleh Persatuan Integrasi Usahawan Selangor, akan digunapakai oleh Me.reka Belia untuk menjalankan program literasi digital bagi melengkapkan remaja dan usahawan B40 dengan kemahiran web dan digital.

Selain Makmal tersebut, peranti DuckiePi juga telah disumbangkan kepada komuniti PPR Lembah Subang, murid-murid dan guru-guru di sekolah luar bandar SK Long Sukang di Lawas, Sarawak, serta keluarga-keluarga di seluruh Malaysia melalui pelbagai NGO.

Taylor's Me.reka Makerspace juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan. 

DuckiePi kini turut dijual pada harga RM500 setiap satu, dengan keuntungannya digunakan untuk membina lebih banyak peranti untuk komuniti. 

Orang ramai boleh menderma untuk menyokong projek pembuatan peranti ini melalui https://form.jotform.com/210053840948455.

Berita Harian X