Khamis, 23 Disember 2021 | 12:00am
Rosol pada sidang Dewan Negara. - FOTO BERNAMA
Rosol pada sidang Dewan Negara. - FOTO BERNAMA

Dewan Negara lulus 3 lagi RUU

KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan tiga lagi rang undang-undang (RUU), iaitu RUU Paten (Pindaan) 2021, RUU Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan RUU Petunjuk Geografi 2021.

Semua RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

RUU Paten (Pindaan) 2021 antara lain bertujuan membenarkan mana-mana individu, pada bila-bila masa selepas pemberian paten, untuk membuat permohonan lesen wajib bagi tujuan membuat dan mengeluarkan produk paten terbabit di Malaysia tanpa perlu mendapat kebenaran pemunya paten.

Rosol berkata, Akta Paten 1983 (Akta 291) digubal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memberi perlindungan pada paten dan pembaharuan utiliti menerusi pendaftaran.

Beliau berkata, tempoh sah pendaftaran paten adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailan permohonan paten dengan syarat ia diperbaharui setiap tahun.

Sementara itu, Rosol ketika membentangkan RUU Hak Cipta (Pindaan) 2021 berkata, pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) adalah bagi memastikan undang-undang hak cipta yang dilaksanakan memberi perlindungan secara lebih efisien dan efektif, selaras keperluan semasa bagi memenuhi kehendak komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan pindaan Akta 332 memberi perlindungan hak cipta sewajarnya, termasuk melaksanakan pengecualian hak yang dibenarkan dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

"Pindaan ini juga sebagai persediaan bagi Malaysia menyertai 'Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled' (Marrakesh Treaty) bagi mengiktiraf hak OKU (orang kurang upaya) penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses seperti yang telah dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 29 Oktober lalu," katanya.

Rosol ketika membentangkan RUU Petunjuk Geografi 2021 pula berkata, RUU itu mempunyai 15 bahagian yang mengandungi 101 fasal satu jadual.

Beliau berkata, antara bahagian terkandung dalam RUU itu ialah Daftar Petunjuk Geografi dan Rekod Pendaftar; Tempoh Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran; Ejen Petunjuk Geografi dan Penyiasatan dan Penguatkuasaan.

Akta Petunjuk Geografi 2000 (Akta 602) digubal selaras keperluan untuk melindungi petunjuk geografi yang berdaftar atau tidak berdaftar di Malaysia, sejajar Perjanjian 'Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights' TRIPS) yang ditandatangani Malaysia dan berkuat kuasa pada 1 Januari 1995.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA

Berita Harian X