Rabu, 22 Disember 2021 | 9:22pm

Anak sulung PM, suami bantu bersihkan rumah mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Seorang mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, menerima kejutan apabila anak sulung Perdana Menteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri, turut membantu kerja pembersihan di rumah keluarganya yang terjejas akibat bencana alam itu.

Mangsa banjir, Daniel Mazlan, berkata beliau amat terharu melihat kesungguhan Nina Sabrina bersama suami, Datuk Jovian Mandagie, yang sanggup membersihkan selut yang meliputi seluruh kawasan rumah keluarganya dan jiran berdekatan.

Beliau berkata, kehadiran pasangan suami isteri itu tanpa sebarang protokol dan kawalan keselamatan juga menunjukkan sikap rendah diri mereka.

"Kami sekeluarga terharu apabila Nina serta Jovian sanggup membersihkan rumah kami dan meninjau keadaan rumah kami yang terjejas banjir.

"Kehadiran mereka berserta pasukan sukarelawan yang lain di sekitar kawasan kami secara tidak langsung meringankan beban kami yang sangat terkesan dengan bencana ini," katanya.

Nina Sabrina dan Jovian juga dilihat bersahaja berehat di belakang sebuah trak pikap selepas membersihkan kawasan rumah mangsa banjir.

Banjir melanda kawasan Hulu Langat pada kali ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku.

Bencana itu telah memusnahkan sebahagian rumah, perabot serta peralatan elektrik, selain kenderaan penduduk juga tidak dapat diselamatkan.

Nina Sabrina dan Jovian turun padang membantu kerja pembersihan di rumah mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat.
Nina Sabrina dan Jovian turun padang membantu kerja pembersihan di rumah mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat.
Berita Harian X