Rabu, 22 Disember 2021 | 5:47pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada persidangan Dewan Negara hari ini. - BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada persidangan Dewan Negara hari ini. - BERNAMA

Dewan Negara lulus RUU berkaitan kesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, setelah dibahaskan tiga senator.

Mas Ermieyati ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, berkata kerajaan komited dalam memastikan perkhidmatan pengantaraan melalui Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) dihebah dan dimaklumkan kepada rakyat.

"Kempen berterusan melalui saluran rasmi melibatkan stesen radio dan juga televisyen selain medium kempen melalui pengiklanan rel di bawah Prasarana Berhad turut dilakukan dan digunakan selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

"PMC-19 akan beroperasi sehingga 31 Disember 2021, tetapi pelanjutan bahagian dua (operasi PMC-19) sedang dalam pertimbangan oleh pihak kerajaan dengan melihat kepada situasi semasa penularan COVID-19 ini," katanya.

Turut menggulung perbahasan RUU itu ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Terdahulu ketika membentangkan RUU berkenaan, Mas Ermieyati berkata, tujuan pindaan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah bagi memperluaskan ruang lingkup pelaksanaan pengantaraan di bawah PMC-19 kepada pihak yang mempunyai pertikaian kontraktual.

Menurutnya berdasarkan statistik sehingga 7 Disember 2021, PMC-19 menerima 171 permohonan untuk mendapatkan perkhidmatan pengantaraan dan daripada jumlah itu, 13 peratus atau 22 kes pengantaraan selesai menjalani proses pengantaraan, manakala empat dalam proses pengantaraan atau sedang menunggu sidang pengantaraan untuk berjalan.

"Baki 145 kes lagi adalah permohonan yang separa lengkap dan sukar diteruskan proses pengantaraan disebabkan faktor-faktor seperti kegagalan untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak bertikai, permohonan yang menukar fikiran serta permohonan di luar kategori," katanya.

Justeru, beliau berkata, situasi itu juga mendorong pindaan kepada Subseksyen 9(1) Bahagian II dilaksanakan, iaitu lebih ramai pihak yang terkesan daripada pelbagai obligasi kontraktual akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19 dapat menggunakan perkhidmatan PMC-19.

Dewan Negara turut meluluskan RUU Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 yang memberi pilihan kepada rakyat dalam pengurusan harta pusaka untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan pusaka yang ditawarkan kerajaan.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju setelah dibahas tujuh senator. - BERNAMA

Berita Harian X