Rabu, 22 Disember 2021 | 3:03pm
Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid. - Foto NSTP
Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid. - Foto NSTP

Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Disember ini, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada 25 Disember.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelantikan Razarudin, 58, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Katanya, pelantikan berkenaan selaras Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

"Razarudin mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam melumpuhkan serta memerangi kegiatan jenayah di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin di sini, hari ini.

Hamzah berkata, beliau percaya gandingan baharu Razarudin bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan memantapkan lagi gerak kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor, sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam PDRM bermula pada 27 Disember 1982.

Sebelum pelantikan terkini, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam PDRM, antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak dan seterusnya Timbalan Ketua Polis Perak sebelum diamanahkan mengetuai kontinjen itu.

Berita Harian X