Rabu, 22 Disember 2021 | 2:06pm
Tinjauan keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu lalu. - Foto BERNAMA
Tinjauan keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu lalu. - Foto BERNAMA

PROTON tawar bantuan kepada pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR: PROTON akan membantu semua pemilik model keluarannya yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Selain itu, syarikat pengeluar kereta itu juga akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan ribuan penduduk terutama di Selangor dan Shah Alam.

"Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kereta mereka. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi jaminan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan syarikat.

"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa juga. Proton akan berusaha untuk memastikan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini," katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398. – BERNAMA

Berita Harian X