Selasa, 21 Disember 2021 | 9:02pm
(Gambar hiasan) Anggota ATM membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR
(Gambar hiasan) Anggota ATM membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR

'Sekarang bukan masa untuk letak kesalahan'

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keselamatan rakyat, terutama mangsa banjir ketika ini sebagai keutamaan, dengan memastikan sebarang usaha membabitkan pengurusan bencana itu dapat dikoordinasikan secara tersusun dan berkesan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat banjir.

Beliau menjelaskan yang penting ialah kerjasama erat antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

"Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep 'Whole Of Government Approach' bagi memastikan setiap agensi terbabit yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

"Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini, adalah tugas bersama setiap agensi bagi mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi menegaskan, ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekunder, khususnya membantu pihak berkuasa yang dikoordinasikan NADMA, bagi menyelamatkan mangsa banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

"Pada masa sama, mangsa banjir juga diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan serta kesejahteraan dan keselamatan semua," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X