Selasa, 21 Disember 2021 | 7:01pm
Sebuah kereta terbalik akibat kejadian banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto BERNAMA
Sebuah kereta terbalik akibat kejadian banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto BERNAMA

AADK turun padang bantu mangsa banjir

PUTRAJAYA: Pelbagai agensi terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menggerakkan kira-kira 53 sukarelawan daripada Skuad Antidadah untuk membantu mereka yang terbabit dalam bencana itu.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata usaha itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir.

"Selain komited membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara ini, sukarelawan Skuad Antidadah juga prihatin terhadap masyarakat dan peka kepada isu semasa bencana yang berlaku khususnya di sekitar Selangor.

"Atas dasar itu, AADK menggerakkan Skuad Antidadah Daerah Kuala Selangor, Skuad Antidadah Daerah Hulu Langat, Skuad Antidadah Daerah Sepang dan Skuad Antidadah Daerah Ampang ke beberapa lokasi bagi menghulurkan bantuan.

"Operasi membabitkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Batu 14 dan Sungai Lui di Hulu Langat dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, menerusi misi bantuan itu pihaknya turut berganding bahu menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan bot penyelamat.

"Selain itu, kita turut mengagihkan makanan, barangan asas dan membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, beberapa pegawai agensi itu turut menjadi mangsa banjir dengan pasukan AADK Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Sosial AADK WP turut turun padang membersihkan kediaman rakan setugas yang terjejas akibat banjir kilat di Taman Nanding, Hulu Langat, Selangor pada Isnin lalu.

Berita Harian X