Selasa, 21 Disember 2021 | 6:17pm
Pelajar UMK, Khairul Sobri Abdul Rahman, 23, dinobatkan penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) UMK daripada PDRM sempena Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) UMK Tahun 2021, di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok. NSTP/Nor Amalina Alias
Pelajar UMK, Khairul Sobri Abdul Rahman, 23, dinobatkan penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) UMK daripada PDRM sempena Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) UMK Tahun 2021, di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok. NSTP/Nor Amalina Alias

Ikut jejak ibu, abang jadi polis

BACHOK: Seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadikan rutin berjoging sejauh lima kilometer setiap hari selama tiga tahun bagi mencapai cita-cita menjadi anggota polis.

Kegigihan pelajar itu, Khairul Sobri Abdul Rahman, 23, ternyata berbaloi apabila dia dinobatkan menerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) UMK daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Khairul berkata, dia berhasrat mahu menjejak langkah ibunya, Azizah Hassan, 58, dan abangnya, Khairul Hazwan Abdul Rahman, 27, yang bertugas sebagai anggota polis.

"Dari segi disiplin, saya bangkit sebelum Subuh sebagai rutin harian dan berjoging bagi menjaga fizikal.

"Pada masa sama, saya kekalkan prestasi dalam pelajaran kerana memang mahu jadi anggota polis sebenar," katanya ketika ditemui Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Kelantan Tahun 2021, di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Azhan Abdul Halim; Komandan Kor Suksis UMK merangkap Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Asisten Komisioner Polis Profesor Teknologis Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Khairul berkata, dia berhasrat mahu menjadi anggota komando, VAT69 sebaik tamat pengajian.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Pengedaran) tahun empat itu berkata, dia memangku jawatan Inspektor Kor Suksis.

Katanya, sebaik memasuki universiti dia terus memohon Kor Suksis dan menjalani latihan serta kemahiran sejak September 2018 hingga Ogos 2021.

Khairul antara 66 pelajar UMK yang tamat latihan Kor Suksis membabitkan 27 siswa dan 39 siswi yang ditauliahkan selepas berjaya menamatkan 672 jam pengajian Kor Suksis.

Sepanjang tempoh itu, pelatih didedahkan dengan silibus latihan kepolisan merangkumi modul latihan kawad, senjata, kursus etika dan integriti, kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA), asas pertolongan cemas dan menyelamat, khidmat masyarakat, seni mempertahan diri (SMD) dan latihan jasmani.

Sehingga kini, seramai 654 pelajar UMK ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan PDRM sejak Kor Suksis UMK diwujudkan pada 2008.

Berita Harian X