Selasa, 21 Disember 2021 | 12:33pm

USIM tangguh kuliah sehingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberikan tempoh bertenang dan kelonggaran kepada semua fakulti serta pusat pengajiannya daripada aktiviti

pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula semalam sehingga 24 Disember ini.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata penangguhan itu bagi mengurangkan tekanan pelajar dan kakitangan yang mungkin terjejas akibat bencana banjir besar melanda sebahagian besar negeri ketika ini terutama di Lembah Klang.

Katanya, fakulti dan pusat di USIM boleh menangguhkan kuliah atau dibuat secara statik dengan bahan mengajar dimuat naik dalam Sistem Global Open Access Learning System (GOALS).

"Kaedah pelaksanaan PdP juga tertakluk kepada fakulti dan pusat masing-masing mengikut keperluan program pengajian termasuk aktiviti pentaksiran seperti kuiz, ujian pertengahan semester serta penghantaran kerja kursus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar yang terkesan dengan bencana banjir boleh menghubungi fakulti dan pusat masing-masing untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti PdP.

"Pihak universiti juga memastikan kebajikan pelajar termasuk kesihatan fizikal dan mental mereka berada dalam tahap baik.

"Fakulti dan pusat akan memantau secara berterusan dengan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu berbangkit," katanya.

USIM turut membuka Bilik Operasi Bantuan Banjir menyelaras bantuan berkaitan banjir dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 012-667 7628 60 (Nur Ekmal Buhary) atau 011-3636 8191 (Hafez Fikri Adimat).

Berita Harian X